Program Kembara Kepimpinan APM bersama GISBH

Views: 7

MELAKA, 08-10.04.2022
Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah menganjurkan Program Kembara Kepimpinan APM dengan kerjasama GISBH selama 3 hari bermula dari 8 hingga 10 April 2022 bertempat di Saza Beach Villa & Chalet, Kuala Linggi, Melaka, di sini.

Program ini bertujuan merealisasikan hasrat YAS Ketua Pesuruhjaya APM yang ingin melahirkan barisan kepimpinan tertinggi APM yang berjiwa dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab masing-masing.

Program dihadiri seramai 18 orang peserta di kalangan para pimpinan tertinggi APM termasuk para pengarah APM negeri-negeri. YAS Pesuruhjaya APM iaitu Tuan Aminurrahim Mohamed bersama kedua-dua timbalan beliau iaitu YAS Tn DR Hj Norhafifi Hj Ismail TKP (Operasi) dan YAS Tn Lokman Effendi Bin Ramli TKP (Pengurusan) turut hadir mengikuti program berkenaan.

Pihak GISBH menyediakan kemudahan bas dua tingkat, penginapan di Saza Beach Villa & Chalet, makan minum sepanjang program iaitu jamuan berbuka, makan malam, moreh dan sahur.

Selain itu, GISBH diamanahkan untuk membuat pengisian sepenuhnya dalam program yang objektifnya adalah untuk membina regu kepimpinan APM yang berjiwa dan menghayati konsep bekerja sebagai ibadah di sisi Allah.

Satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tuan Mokhtar Tajuddin mewakili pimpinan GISBH telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran program yang julung-julung kali diadakan ini.

Ianya bagi menyahut harapan pihak APM terhadap modul program oleh GISBH yang merupakan suatu yang besar yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin.

GISBH sentiasa komited membantu mana-mana pihak yang bersedia bekerjasama dengan GISBH terutama dalam program pembinaan sumber manusia warga kerja masing-masing

Antara aktiviti menarik di dalam program berkenaan ialah perjalanan menaiki bas dua tingkat milik GISBH bermula dari perkarangan Ibu Pejabat APM di Sg Merab hingga ke Kuala Linggi yang dipenuhi sesi pengenalan diri, taklimat musafir dan taklimat-taklimat berkaitan program. Suasana dalam bas yang santai dan mewah itu mendorong terbinanya hubungan ukhwah dan kasih sayang antara semua yang terlibat.

Aktiviti ceramah, tazkirah dan perbincangan berkisar tentang persoalan 2 peranan manusia di atas muka bumi, ibadah dalam Islam dan juga asas-asas kekuatan sesebuah organisasi.

Para peserta diberi peluang mengulas dan meluahkan rasa hati masing-masing yang memperlihatkan kesedaran dan semangat kerja berpasukan semakin terserlah dalam jiwa mereka.

Aktiviti luar juga berjaya menarik perhatian peserta apabila mereka diberi peluang menaiki bot mewah milik GISBH di sekitar perairan Kuala Linggi disamping aktiviti pertandingan memanah antara kumpulan.

Pada malam penutup, para peserta menyerlahkan bakat dalam persembahan lagu-lagu kerohanian dalam kumpulan masing-masing yang menghiburkan para hadirin. Manakala kumpulan generasi harapan tampil menghiburkan para peserta di waktu jamuan makan sepanjang 3 hari program berjalan.

Rata-rata komen para peserta merasakan setelah 3 hari mengikuti pelbagai aktiviti terutama pengisian kuliah dan tazkirah, sesi perbincangan dan juga menghayati suasana ibadah secara berjemaah, dapatlah mereka rumuskan bahawa sasaran program berkenaan telah dapat dicapai.

Apa yang mahu dilihat selepas ini ialah peningkatan komitmen dalam menghayati peranan sebagai hamba dan khalifah serta saling terhubung antara satu sama lain. Semoga Allah anugerahkan hati yang istiqamah dalam memilih kebenaran serta berintegriti dalam kehidupan dan juga dalam memikul amanah kepimpinan.

Views: 7

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top