Pengerusi Eksekutif GISBH dan rombongan menziarahi Kompleks Pemakaman Turki di Acheh

Views: 1

BANDA ACEH, 30.03.2022
Pengerusi Eksekutif GISBH dan rombongan mengambil peluang dalam rangka lawatan kerja ke projek-projek GISBH di Indonesia untuk menziarahi Pemakaman Tentera Turki di Kompleks Makam Tengku Di Bitay di Desa Bitai, Banda Aceh hari ini.

Menurut catatan sejarah, pada tahun 1539, Kesultanan Turki Uthmaniah telah menghantar para ulama, guru dan tentera belayar menuju tanah Aceh untuk membantu melawan penjajah Portugis ketika itu.

Allah kekalkan bukti hubungan diplomatik antara Kerajaan Aceh Darussalam dengan Kesultanan Turki Uthmaniah dengan adanya Kompleks Makam Tengku Di Bitay di Desa Bitai, Banda Aceh.

Ratusan makam guru, ulama dan pejuang Turki di Aceh terdapat di sini.

Masyarakat Aceh menyebut kompleks di sekitar makam ini sebagai “Kampung Turki”.

Berdasarkan catatan sejarah, nama Tengku Di Bitay diambil daripada ulama Palestin yang memimpin rombongan Kesultanan Turki Uthmaniah ke Aceh. Nama ulama tersebut adalah Muthalib Ghazi bin Mustafa Ghazi yang kemudian dikenal dengan nama Tengku Syeikh Tuan Di Bitai. Beliau membantu Kesultanan Aceh dalam pengajaran agama Islam. Ini membuktikan Empayar Turki bukan sahaja mengirim bantuan ketenteraan bahkan menghantar ulama dan guru.

Ketika tentera-tentera Turki Uthmaniah ini tiba, mereka mendarat di Bitai dan mendirikan akademi tentera di sini.

Di kompleks makam Uthmaniah ini juga menjadi tempat para tentera Turki Uthmianah dimakamkan.
Selain daripada mereka, pemakaman ini juga diperuntukkan bagi para bangsawan dan ulama-ulama Kesultanan Aceh Darussalam.

Ketika tsunami melanda Aceh pada tahun 2004, berlaku kerosakan besar di pemakaman ini malah banyak mayat mangsa tsunami yang terdampar di sini.

Kerajaan Turki telah menghantar pasukan Bulan Sabit Merah Turki untuk memulihkan kerosakan makam pada tahun 2005 dengan memasang pagar dan batu granit.

Jelas di sini hubungan antara kerajaan Turki dan Aceh telah berlaku dari dahulu lagi di bidang pendidikan, ketenteraan, keagamaan dan budaya.

Mengambil keberkatan pejuang-pejuang dahulu yang merentas benua dan lautan demi membela agama Allah, YBhg Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH membawa rombongan melawat dan melihat sendiri kesan sejarah mereka.

Di sini, beliau mengetuai rombongan mengambil peluang menghadiahkan pahala bacaan ayat suci Al-Quran kepada para pejuang terdahulu dan berdoa agar perjuangan Islam kini dibantu oleh Allah Taala.

Views: 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top