GISBH dan YKPPM Lancar Tabung Bantuan Rakyat Afghanistan

Views: 5

ALOR SETAR, 23.04.2022
Syarikat GISB Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) telah melancarkan Tabung Bantuan Afghanistan dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di Royal Kedah Club, Pumpung di sini hari ini. Majlis berbuka puasa tersebut telah ditaja oleh Klinik Pakar Jantung Dr. Rahim

Majlis telah dihadiri oleh Dato’ Dr Hj Ahmad Azam bin Ab Rahman, Penasihat Khas Menteri Luar mengenai Afghanistan sebagai tetamu kehormat sekaligus melancarkan bersama Tabung Bantuan Afghanistan di sini, hari ini.

Dato’ Dr. Ahmad Azam dalam ucapan perasmiannya mengatakan pemimpin dan rakyat Afghanistan memerlukan bantuan daripada rakyat Malaysia kerana mereka telah lebih 40 tahun berperang dan tiada kepakaran untuk mentadbir dan membangunkan negara, sementelahan pula rakyatnya yang mempunyai pelbagai kepakaran telah keluar lari dari Afghanistan kerana takut dibunuh oleh Taliban hasil dimomok-momokkan oleh media barat.

Beliau juga menekankan bahawa Afghanistan adalah di dalam wilayah Khurasan yang telah melahirkan tokoh-tokoh berjasa kepada dunia Islam seperti Imam Al-Bukhari, Imam At-Termizi dan Imam Al-Ghazali malah bangsa Afghanistan walaupun pernah dijajah tetapi telah berjaya mengalahkan dan menghalau keluar 3 kuasa penjajah dari negara mereka iaitu orang British, Rusia dan Amerika.

Dr. Ahmad Azam juga mengatakan, untuk membantu atas nama negara agak sukar kerana ia melibatkan persetujuan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi tidak ada halangan bantuan yang dibuat atas nama NGO seperti yang dilakukan ini sambil memuji tindakan pantas GISBH dan YKPPM dalam menyambut usaha memulihkan negara Afghanistan ini malah sebelum ini telah menghantar dua orang wakil untuk pergi sendiri bersama dengannya masuk ke Afghanistan.

GISBH yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Lokman Hakim Pforden telah menyerahkan mokap cek berjumlah RM50,000.00 kepada Dato’ Ahmad Azam sebagai asas memulakan kutipan untuk tabung berkenaan.

Turut hadir ialah beberapa pimpinan GISBH seperti Ketua Pegawai Operasi, Tuan Hasnan Bin Abdul Hamid, Ketua Pegawai Penyelaras, Tuan Mohd Adib At-Tamimi dan Tuan Anuar Abd Rahman, salah seorang Ahli Lembaga Penasihat.

Selain dari berpeluang menonton profile GISBH, YKKPM dan Klinik Pakar Jantung Dr Rahim di layar besar, hadirin juga dapat menonton secara ‘live’ persembahan nasyid, silat tari, tarian sufi dan pendeklamasian sajak dari kumpulan Generasi Harapan sebelum menikmati juadah berbuka puasa dan makan malam yang disediakan oleh Katering Ikhwan.

Moga kesedaran seluruh peringkat masyarakat terhadap keperluan membantu saudara seagama kita di Afghanistan bertambah dengan program seumpama ini dan memberi dorongan kepada semua untuk saling membantu.

Views: 5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top