GISBH ke arah menjalinkan usahasama dengan Redland Aviation Services Sdn. Bhd. dalam bidang penerbangan

Views: 1

SUBANG, 22.04.2022
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, telah memenuhi jemputan daripada YBhg Dato’ Ismail Hassan, Pengarah Urusan Redland Aviation Services Sdn Bhd (REDLAND) untuk mengunjungi pejabat urusan REDLAND di Subang Skypark, di sini hari ini sekaligus melangsungkan perbincangan ke arah usahasama dalam bidang penerbangan.

Rombongan Pengerusi Eksekutif GISBH diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, Ketua Pegawai Operasi, YBhg Tuan Hasnan Abd Hamid juga beberapa pegawai-pegawai pentadbiran dan juga dari kalangan Remaja Pembela Ummah (RPU)

Dalam pertemuan ini, Dato’ Ismail Hassan memperkenalkan perniagaan penerbangan REDLAND dan menyampaikan hasrat untuk bekerjasama dan menjalinkan usaha sama dengan GISBH dalam memajukan dan memperluaskan lagi perkhidmatan.

Kelebihan GISBH yang telah bertapak di 16 buah negara selain Malaysia meyakinkan beliau sinergi yang bakal terjadi daripada kerjasama ini dan ia bukan sahaja akan menjadikan syarikat Bumiputera Islam mampu bersaing di peringkat antarabangsa, bahkan memberi sebanyak-banyaknya manfaat kepada orang ramai.

Manakala di pihak GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali menyambut baik pelawaan tersebut dengan cita-cita menjadikan kerjasama antara REDLAND dan GISBH, mampu meneraju bidang penerbangan patuh syariah.

Seterusnya rombongan GISBH dibawa melawat ke dalam beberapa buah pesawat, antaranya; Gulfstream 3, Cessna Citation 650, Westwind 2 dan Eurocopter EC120B.

Setakat ini, REDLAND memiliki lebih daripada 8 buah jet peribadi dan juga 2 buah helikopter yang membantu menyelia operasi PLUS.

YBhg Dato’ Ismail Hassan yang juga merupakan pemilik REDLAND telah memberi cadangan kepada GISBH dalam memberi khidmat penerbangan ini seperti menyantuni tetamu-tetamu Allah, samada untuk mengerjakan ibadah Haji atau Umrah yang eksklusif.

Ini memandangkan GISBH telah memiliki anak syarikat yang berdaftar di Arab Saudi iaitu Muassasah Global Ikhwan yang telah beroperasi sejak tahun 2013 lagi dan berpengalaman mengendalikan jemaah Haji dan Umrah.

Moga Allah izinkan semua ini berlaku agar sistem pengangkutan Umat Islam bukan sahaja nampak eksklusif di daratan dan lautan bahkan di udara dalam bidang penerbangan.

Views: 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top