Ikhwan Equestrian sertai pertandingan kuda lasak di Australia

Views: 6

MUDGEE, 08.06.2023
Pasukan Ikhwan Equestrian Australia mendapat pengalaman baru apabila menyertai Kejohanan Kuda Lasak Australia di Central Range Endurance Club, Windeyer, di sini sekitar 260km dari Sydney, baru-baru ini.

Ikhwan Equestrian diketuai YDH Tuan Mohammad Adib At-Tamimi, salah seorang Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, merangkap Presiden Remaja Pembela Ummah (RPU) dan ketua Ikhwan Equestrian GISBH bersama-sama 6 orang Pengarah Zon GISBH, dibantu 8 RPU lain telah sampai sehari sebelum pertandingan untuk persiapan segala keperluan pertandingan menaiki tiga buah kenderaan; Land Cruiser yang menarik Float kuda, Prado menarik trailer barang dan sebuah Motohome untuk penginapan.

Tujuan Presiden RPU membawa pasukan Ikhwan Equestrian menyertai pertandingan ini adalah untuk menghidupkan sukan sunnah berkuda di samping mengambil pengalaman, berkenalan dan bermesra dengan masyarakat tempatan khususnya yang bukan Islam untuk mempromosi syiar Islam melalui bidang ini.

Seawal tiba ke lokasi pertandingan dan sepanjang masa pertandingan ini, pihak penganjur sangat menyantuni pasukan Ikhwan Equestrian dengan membantu membuat pagar elektrik kuda, menawarkan keperluan-keperluan kuda seperti selimut kuda (rugs), malah peserta lain juga sangat mesra bergaul dan membantu pasukan Ikhwan Equestrian memakaikan kuda rugs serta membawa air minuman kuda.

Di sini terserlah sifat perihatin dan penyayang mereka dalam menjaga kesihatan dan kebajikan kuda-kuda juga mesra bergaul dengan pasukan Ikhwan Equestrian, satu-satunya pasukan dari luar dan beragama Islam tanpa prejudis.

Tuan Adib pula menyusun pasukan Ikhwan Equestrian dengan memastikan kedatangan rombongan dengan kenderaan yang berwibawa dan menyelaraskan pakaian, gerak kerja malah makan beramai-ramai dan ibadah sembahyang jemaah hingga menarik perhatian semua.

Pihak penganjur sendiri mengatakan pasukan Ikhwan Equestrian nampak tersusun dan ramai lalu menawarkan Ikhwan Equestrian untuk membantu penganjur sebagai crew pertandingan, memandangkan kebanyakan peserta lain hanya datang seorang atau berdua sahaja.

Menariknya pertandingan kali ini banyak disertai dari kalangan mereka yang yang berumur melebihi 50 tahun bahkan ada di kalangan mereka yang telah berumur 80 tahun tetapi mengambil bahagian dalam acara 80 km. Ini membuktikan sukan sunnah berkuda ini dapat membuatkan tubuh badan lebih sihat dan kuat.

Penyertaan pasukan Ikhwan Equestrian kali ini pula amat mencabar kerana keadaan laluannya yang berbukit cerun dan berbatu besar di tambah dengan suhu pagi yang sangat sejuk menghampiri 0° C.

“la 10 kali ganda lebih mencabar dari trek pertandingan di Lembah Bidong,” ujar YDH Tuan Mohammad Adib.

Ditambah dangan cabaran 40 kilometer (km) tidak ada loop setiap 20 km seperti di Malaysia tetapi terus menerus 40 km bahkan setiap penunggang perlu mengekalkan heart rate kuda di bawah 55bpm berbanding biasanya 64bpm jika di Malaysia.

Untuk penyertaan kali pertama ini, pasukan IE membawa 2 ekor kuda bersama penunggangnya untuk mengambil bahagian dalam kategori 40 km iaitu kuda bernama ‘Fateh’ dengan penunggangnya Tuan Adib dan ‘Johari’ ditunggang oleh Tuan Hamdi.

Walaupun baru menyertai pertandingan ini buat kali pertama, Allah izinkan kedua-dua kuda dari baka ‘Pure Arabian’ ini, iaitu Fateh telah mendapat tempat pertama dan Johari pula mendapat tempat kedua.

Selain dari kejohanan utama ini, pasukan Ikhwan Equestrian juga turut menyertai side event iaitu acara sukaneka dengan 3 orang wakil Ikhwan Equestrian mendapat tempat 1, 2 dan 3.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan bergambar beramai-ramai.

Pihak Ikhwan Equestrian melalui Tuan Aizal, mewakili YDH Tuan Adib telah menyampaikan ucapan ringkas untuk berterima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberi ruang Ikhwan Equestrian untuk menyertai kejohanan ini, memberi pelbagai bantuan juga dorongan kepada pasukan Ikhwan Equestrian Australia dan mengalu-alukan pasukan Ikhwan Equestrian untuk menyertainya lagi di masa akan datang.

Moga keindahan Islam dapat dirasai oleh semua yang bersama-sama dalam kejohanan ini melalui akhlak dan pergaulan pasukan Ikhwan Equestrian.

Views: 6

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top