Mantan Penasihat Duta Thailand ke Saudi serah tanah kepada GISBH

Views: 0

YARING, PATTANI, 09.06.2023
Hj. Asri Abdullah bekas penasihat Duta Besar Thailand ke Saudi dan En Maaruf Kasim, Pegawai Tadbir Syarikat GISBH Thailand telah menandatangani satu surat perjanjian penyerahan tanahnya kepada GISBH di hadapan Ku Ismail Tengku Abdul Aziz, pembantu Wakil Rakyat Yaring di sini hari ini.

Surat perjanjian itu ditanda tangani di kawasan rumah Penghulu Mukim setelah Ku Ismail menonton video profile GISBH.

Terdahulu, tertarik dengan usaha GISBH memperjuangkan cara hidup Islam di semua aspek kehidupan, Hj. Asri menyerahkan sebidang tanah beliau untuk digunakan GISBH dalam kegiatan yang bermanfaat.

Walaupun ia tidak luas tetapi kedudukannya yang cantik di tebing sungai, mempunyai sumber air bersih dari telaga yang sedia ada, malah berhadapan dengan Pemakaman lama Di-Raja Fatoni menjadikan tempat ini sangat strategik.

Menurut Ku Ismail yang juga anak Penghulu Mukim di situ, kawasan itu merupakan sebuah pulau di tengah-tengah sungai yang merupakan penempatan lama yang bersejarah termasuk pernah menjadi pusat pendidikan pondok-pondok pengajian zaman dahulu.

Terdapat 300 buah kolam ternakan udang di kawasan tersebut dan Ku Ismail sendiri mengusahakan 30 buah kolam sejak 10 tahun yang lalu.

Hj. Asri yang memeluk Islam sejak 41 tahun yang lalu sangat mempromosikan GISBH kepada Ku Ismail yang mempunyai hubungan dengan kerabat Di-Raja Kelantan.

Beliau memperkenalkan GISBH dengan Ku Ismail supaya memudahkan GISBH dalam usaha membangunkan tanah tersebut kerana telah mengenali orang tempatan terlebih dahulu.

Moga harapan pimpinan GISBH untuk membangunkan tanah yang diserahkan secara percuma itu menjadi kenyataan agar ia dapat dimanfaatkan untuk kebaikan semua umat Islam di kawasan tersebut.

Views: 0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top