Staf GISBH ikuti Kursus Penyembelihan dan Forum Halal

Views: 0

TIOMAN, 08.06.2023
2 orang staf GISBH telah menyertai Kursus Penyembelihan dan Forum Halal anjuran Pejabat Agama lslam Daerah Rompin di Masjid Kampung Tekek di sini semalam.

Kursus yang bermula pukul 8.30 pagi dan tamat pada jam 9.00 malam itu telah diisi oleh Tuan Hj. Adnan Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Halal, Jabatan Agama lslam Negeri Pahang (JAIP) yang juga Mantan Kadi Daerah Rompin dan Al Fadhil Ustaz Hj M. Bunyamin Abdul Ghani, Kadi Daerah Rompin.

Ustaz Shukri Abd Jalil, Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Rompin pula menyelia majlis sebagai moderator.

Kursus dimulakan dengan perkongsian ilmu secara teori oleh Ustaz Adnan bin Mamat yang menerangkan kepentingan penyembelihan yang sah dengan menggunakan alat bantu slide dan diakhiri dengan sesi soal jawab.

Selesai sesi pertama, para peserta menikmati jamuan ringan dan berehat sebentar.

Selepas itu program diteruskan dengan sesi praktikal di mana beberapa orang peserta dipilih untuk menyembelih 5 ekor ayam kampung dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai dari JAIP.

Beberapa orang peserta perempuan juga telah terlibat dalam kursus ini dan seorang daripada mereka turut menyembelih seekor ayam.

Jumlah peserta kursus seramai 50 orang terdiri dari Ketua Kampung sendiri En Zulkarnaini Abdul Hamid, Imam Masjid dan AJK Masjid Kampung Tekek dan beberapa orang dari Jabatan Kerajaan juga penduduk Kampung Tekek, Kampung Juara dan Kampung Air Batang.

Ikhwan Tioman diwakili oleh Kamaruzaman Ujang dan Ahmad Roduan Siwi.

Penyampaian sijil kursus telah di sempurnakan oleh Tuan Kadi Daerah Rompin selepas Zuhur.

Program menjadi lebih menarik bila terdapat sesi gotong royong memasak juadah makan malam selepas Asar di mana seluruh yang terlibat bekerjasama menyiapkan masakan dari hasil sembelihan mereka sendiri.

Selepas Maghrib telah diadakan sebuah forum Halal dengan tajuk; “Apa di Sebalik Logo Halal?” oleh 3 orang panel yang sama.

Antara isi forum tersebut ialah mengapa perlunya logo halal, kesan jika tiada logo halal dan akibat tidak prihatin dengan makanan.

Ahli panel menerangkan bahawa ada 3 kategori makanan dan juga barang iaitu yang halal dan jelas halalnya, yang haram dan jelas haramnya juga dari sumber-sumber yang haram dan juga makanan yang tidak jelas halal dan haramnya ataupun shubhat.

Ahli panel menegaskan apabila seseorang makan makanan yang haram walaupun sedikit ia akan memberi kesan pada hati, oleh itu jangan tetlibat walaupun sedikit dengan perkara haram seperti menjual arak dan lain-lain.

Kursus ini telah berjaya memberi ilmu, pendedahan dan maklumat yang penting kepada semua peserta lebih-lebih lagi terdapat banyak soal jawab dan perbincangan dua hala yang mudah-mudahan akan memberi kekuatan kepada para peserta untuk mengusahakan yang halal kerana ia adalah satu tuntutan dalam beragama.

Views: 0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top