GISBH melawat One Stop Service Center Halal Food Industrial Estate Pattani Province

Views: 1

PATTANI, 15.06.2023
Setelah mengadakan MoA melalui Syarikat Ikhwan Fateh Poultry Sdn. Bhd. (IFPSB) bersama PT. Putra Perkasa Genetika (PTPPG) untuk kerjasama berkaitan penternakan ayam di Indonesia, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah mengadakan lawatan ke One Stop Service Center Halal Food Industrial Estate Pattani Province (Pusat Khidmat Sehenti Kawasan Perindustrian Makanan Halal wilayah Pattani) untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Thailand pula di sini semalam.

Pengerusi Eksekutif IFPSB itu yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif GISBH mengetuai seramai 32 orang pimpinan dan staf GISBH datang untuk melihat sendiri dan berbincang mengenai kerjasama GISBH untuk menjalankan usaha sama penternakan dan pengeluaran makanan halal di Pusat Khidmat Sehenti yang telah terbengkalai sejak 15 tahun yang lalu.

Kawasan Perindustrian Makanan Halal Wilayah Pattani yang terletak di Daerah Panare ini seluas 176 Rai (69.5 Ekar) tetapi baru dibangunkan seluas 40 Rai (15.8 Ekar) sahaja.

Terdapat 3 reban ayam Reban Ayam Tertutup yang berkapasiti 30 ribu ekor ayam setiap satu di mana sistem pemakanan dan minumannya secara automatik.

Terdapat juga kawasan ternakan lembu secara fidlot yang berkapasiti 500 ekor lembu.

Ia dilengkapi dengan 60 buah rumah penginapan staf dua tingkat dengan ruang tetamu, tandas dan dapur di bawah serta 2 bilik di tingkat atas.

Sepertimana yang dijelaskan oleh wakil Halal Food Industrial Estate,
pusat berkenaan telah dibuka 15 tahun yang lalu dengan kerjasama pihak berkuasa agama 3 Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat, namun reban ayam ini baru digunakan sekali sahaja.

Setelah mendapat taklimat dan berdialog dengan wakil One Stop Service Center Halal Food Industrial Estate Pattani Province di dewan mesyuarat, Tuan Nasiruddin Mohd menyatakan GISBH sedia membantu membangunkan semula tempat ini dengan membawa tenaga dan kepakaran dari Malaysia dan Indonesia serta melatih tenaga tempatan.

“Kita ingin tunjukkan Islam itu cara hidup. Hidup itu untuk Islam. Islam itu boleh payungkan semua orang sampai yang bukan Islam pun kita boleh payungkan. Kalau betul kefahaman Islam kita. Tapi ramai orang tidak begitu jadi kita hendak tunjukkan Islam itu cantik, indah, Islam ada kasih sayang, yang kami ceritakan ini apa yang kami telah buat, perjuangan ini telah bermula sejak 55 tahun yang lalu, telah bertapak di 17 buah negara.

“Kami mempunyai 3500 orang remaja. Setiap orang dilatih dengan 10 kemahiran. Orang yang sama boleh memasak, bernasyid, memandu kenderaan, menjadi imam, mempengerusikan majlis, bertukang dan lain-lain. Atau mereka boleh menyelesaikan 10 masalah tetapi mereka perlu dikawal. Kalau tidak dikawal, simpangnya banyak. Beri mereka buat kerja hingga letih. Setiap hari pula perlu ada penerangan dan kita hiburkan mereka seperti menyediakan sukan Sunnah Berkuda, berenang dan naik motor besar.

“Yang penting sembahyang jangan tinggal, makan tak boleh banyak, cantik kalau Islam dapat dilaksanakan begini,” ujar Tuan Pengerusi Eksekutif.

“Di Suan Palm Farm kita bekerjasama dengan Mr. Bhokin dan Mr. Jiradej dan di Indonesia dengan Pak Dafid dan Pak Hendra yang semua mereka bukan muslim dan tiada masalah. Di sini kita nak tunjukkan kepada kerajaan Thailand, kita orang Islam boleh berkawan dengan semua,” tambah Puan Azura, Ahli Lembaga Penasihat Muslimah GISBH.

Secara dasarnya, GISBH bersetuju untuk berkerjasama dalam projek ini dan akan dihantar pasukan teknikal untuk perbincangan selanjutnya.

Setelah itu rombongan dibawa melihat Model Minimalis seluruh kompleks tersebut dan diiringi ke reban ayam moden yang kelihatan terjaga bersih walaupun telah lama tidak digunakan dan kawasan perumahan staf.

Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai di pintu utama Pusat Khidmat Sehenti Kawasan Perindustrian Makanan Halal wilayah Pattani ini.

Moga akan segera berlaku kerjasama di antara GISBH dengan Pusat Khidmat Sehenti ini untuk menjamin bekalan makanan yang benar-benar halal untuk pasaran tempatan dan eksport.

Views: 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top