BACHOK, 13.06.2023
Ikhwan Equestrian telah menyertai Kejohanan Kuda Lasak Piala Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK NC CUP) 2023 yang berlangsung di Pantai Seri Nipah, di sini baru-baru ini.
Pertandingan yang dianjurkan Pusat Sukan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMK dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stables (RTES) itu, disertai oleh 80 rider dari pelbagai kelab sukan berkuda seluruh negara.
Sebanyak 3 kategori pertandingan dianjurkan iaitu CEN 40 km, Amatur 35 km dan VIP atau Veteran 20 km dan laluan sukan berkuda ini menyelusuri sepanjang pesisiran pantai bermula dari Pantai Seri Nipah, Bachok, Kelantan.
Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak telah menyempurnakan acara pelepasan pertama ‘Flag Off’ bagi kategori CEN 40 km Kebangsaan seawal jam 4.20 pagi, diikuti Amatur 35km jam 7.00 pagi dan kategori Vip Ride jam 7.15 pagi.
Kali ini, Ikhwan Equestrian telah menghantar 4 penyertaan untuk kategori CEN 40 km dan Amatur 35 km.
Seperti biasa, walaupun berada di Australia atas lawatan kerja, YBhg Tuan Adib At-Tamimi, Ketua Ikhwan Equestrian tetap memberi panduan dan peringatan secara jarak jauh kepada ‘rider’ dan juga kru yang terlibat dengan menegaskan bahawa kemenangan bukan matlamat utama, tetapi kesungguhan mereka dalam menghidupkan sukan sunnah berkuda yang dianjurkan oleh Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW.
Di sudut penghayatan pula, peserta diingatkan supaya tidak bersikap sombong atau bermegah atas nama peribadi, akan tetapi ianya dibuat sebagai menyahut apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Seterusnya, peserta diajak YBhg Tuan Adib At-Tamimi membayangkan dan menghayati bagaimana kesukaran dihadapi Baginda Rasulullah dan para sahabat menunggang kuda untuk bermusafir, berdagang, berperang, menyebarkan dakwah dan memperkenalkan Islam ke serata dunia.
Respons dari pihak penganjur UMK NC CUP 2023 mengatakan penyertaan dan tenaga dari Ikhwan Equestrian kelihatan ramai dan menambahkan lagi suasana kemeriahan endurance yang dianjurkan buat kali kedua di sini.
Daripada 8 ekor penyertaan Ikhwan Equestrian 5 ekor kuda berjaya menamatkan perlumbaan, 1 ekor tempang dan 2 ekor menarik diri setelah pusingan pertama.
Acara ini ditutup dengan sesi penyampaian hadiah, sijil dan cenderahati yang disampaikan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan kepada para pemenang termasuk
YBhg Tuan Mohd Rifaah At-Tamimi dari Ikhwan Equestrian mewakili YBhg Tuan Adib At-Tamimi.
Sukan sunnah berkuda ini bukan sahaja menyihatkan fizikal malah boleh menguatkan hubungan rohani dengan Rasulullah SAW juga mengeratkan silaturrahim sesama insan khususnya antara pihak penganjur dengan ahli-ahli kelab berkuda dan sesama mereka.
Recent Comments