Rombongan GISBH menziarahi Makam Syeikh Abdul Samad Al-Falembani

Views: 3

SONGKHLA, 14.06.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali mengetuai rombongan pimpinan dan staf GISBH seramai 32 orang telah menziarahi Makam Syeikh Abdul Samad Al-Falembani di Chanong Daerah Chana di sini hari ini.

Rombongan menaiki 7 buah kenderaan sampai ke kawasan pemakaman pukul 9.42 pagi dan disambut oleh Pak Dok, Penjaga Makam yang merupakan sahabat Tuan Nasiruddin, lalu dibawa ke Makam Syeikh Abdul Samad Al-Falembani.

Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani adalah anak Mufti Kedah Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani (berasal dari Yaman) yang berkahwin dengan Raden Ranti dari Palembang. Beliau bersahabat baik dengan Syeikh Daud Al-Fatoni, ulama Nusantara yang terkenal.

Beliau mempunyai seorang abang berlainan ibu bernama Syeikh Abdul Kadir yang menggantikan bapanya sebagai Mufti Kedah.

Sebelum tercetus perang Kedah dan Patani menentang penjajahan Siam, Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani yang berada di Mekah telah menerima surat daripada abangnya, Syeikh Abdul Kadir, Mufti Kedah yang memaklumkan bahawa akan berlaku perang jihad mempertahankan Islam dan tanahair bagi Kedah dan Patani.

Syeikh kemudian pulang ke Kedah lalu diangkat sebagai Panglima Perang dan terus mara bersama angkatan Kedah, Patani, Aceh, Kelantan dan Terengganu.

Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani telah syahid di Patani dalam perang 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832. Ketika itu usia beliau sudah melebihi 100 tahun.

Menjawab soalan daripada Ibu Azura, apakah akan terjadi pada Thailand selepas ini menurut Syeikh Abdul Samad Al-Falembani, Pak Dok berkata, “Apa yang dipesan oleh Syeikh Abdul Samad, peperangan cukuplah setakat dia, lepas ini kepada anak cucu, binalah keselamatan, binalah kasih sayang dan sambunglah perjuangan dia untuk menyebarkan dan menyampaikan agama. Peperangan itu cukuplah setakat dia. Itulah pesanan terakhir dan sekarang apa yang dipesan oleh Syeikh Abdul Samad Falembani sedang berlaku sekarang.”

Terdapat sebuah bangunan baru berdekatan makam iaitu dua unit tandas untuk kemudahan pengunjung yang semakin kerap datang tanpa mengira waktu malah ada yang tidur di situ.

Tuan Nasiruddin Mohd Ali atas nama GISBH mengambil tanggung jawab untuk menyiapkan sistem bekalan elektrik menggunakan solar bagi menghidupkan lampu sekitar makam, tandas dan pakir kenderaan juga untuk pam air ke tandas.

Semuanya untuk memberi khidmat kepada para pengunjung yang datang, memudahkan urusan dan menyelesaikan masalah mereka.

Moga dengan keberkatan para syuhada yang hidup di sisi Tuhan, khususnya Syeikh Abdul Samad Al-Falwmbani, penyebaran Islam dapat diteruskan dengan kasih sayang dan harmoni di negara Thailand ini.

Views: 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top