PUTRAJAYA, 08.08.2023
Seramai 300 Remaja Pembela Ummah (RPU) iaitu belia di bawah GISBH telah menyertai Program Sekolah Rukun Negara (Asas) anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di sini semalam.
Program yang diselaraskan oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan itu sudah dimulakan sejak Januari lalu menyasarkan 60,000 belia di seluruh negara menyertainya sehingga penghujung tahun ini, bagi menyemarakkan kefahaman dan pengetahuan demokrasi terhadap golongan berkenaan.
Sasaran itu adalah untuk pendekatan secara bersemuka, manakala menerusi digital, pihaknya menyasarkan sembilan juta belia mengikuti program sama menerusi platform sosial media TikTok, Youtube dan Facebook.
Seramai 300 pimpinan RPU diketuai oleh Presidennya Tuan Mohd Adib At-Tamimi, dipilih daripada 3700 belia yang berada di dalam GISBH menyertai program kali ini yang diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Sultan Zainal Abidin Putrajaya.
Kali ini, para RPU mengikuti kursus asas di dalam kursus yang mempunyai tiga fasa iaitu kursus asas yang diadakan selama sehari, pertengahan (tiga hari dua malam) serta lanjutan (empat hari tiga malam).
3 pembentangan diadakan sepanjang hari ini iaitu Slot Rukun Negara oleh i-LEAD, Taklimat Jabatan Agama Islam oleh JAKIM dan Slot Keselamatan Negara oleh PDRM.
Perwakilan RPU mendapat pendedahan mengenai Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia termasuk Perlembagaan, sistem Raja Berperlembagaan, Pilihanraya, Parti-parti Politik, Parlimen dan lain-lain oleh En Mohd Hisyamuddin bin Basabah dari i-LEAD.
Pendedahan berkaitan tanggung jawab dalam berkeluarga dan negara pula mereka dapat ikuti daripada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Hj Muhyiddin bin Aziz dari JAKIM.
Manakala slot Keselamatan Negara khususnya ancaman dari fahaman-fahaman ekstrim pula disampaikan oleh wakil PDRM, DCP Zainuddin bin Hj Ahmad.
Dengan program seperti ini akan memberi nilai tambah kepada para belia GISBH atau RPU yang memang bergaul dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa melalui aktiviti sukan berkuda, menunggang motorsikal berkuasa besar, berdakwah melalui kembara berkenderaan motor homes juga bertugas di projek-projek GISBH di 17 buah negara dengan meningkatkan semangat patriotik, jati diri dan kesepaduan nasional untuk menjadi warga yang bertanggungjawab.
Pihak Keselamatan merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, YDH Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali yang bukan sahaja sangat memberi kerjasama dan menyokong penuh program ini malah turut hadir sekali dalam program di sebelah petang.
Moga dengan mengikuti program ini diharap belia-belia GISBH dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keutuhan dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.