Aidilfitri di sambut meriah warga GISBH seluruh dunia

Views: 3

Kuala Lumpur: Warga GISBH di 17 buah negara menyambut Aidil Fitri penuh kemeriahan tahun ini dengan surau dan lapangan dipenuhi jemaah yang hadir bersama keluarga masing-masing dengan mengenakan pakaian berwarna-warni bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri selepas dua tahun meraikannya secara sederhana.

Seperti masyarakat Malaysia yang lain, perayaan itu disambut hampir seperti normal dengan mengambil peluang bertemu sanak saudara serta menjamu pelbagai juadah yang enak sambil mendengar lantunan nasyid penyubur jiwa manakala anak-anak berpeluang bermain-main, bersuka ria.

Di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia sambutan Hari Raya kali ini disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Di Mekah, Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten menunaikan solat sunat Aidilfitri di lapangan Wadi Berkat Dato’ Ibu di Hudaibiyah, hartatanah yang telah GISBH beli bersama kira-kira 65 orang staf GISBH Haramain. Majlis dimeriahkan dengan jamuan Aidil Fitri dan persembahan nasyid.

Di Rawang, Tuan Reza Mahar, Pengarah di Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPI BCH) menyampaikan khutbah Aidil Fitri di hadapan kira-kira 230 jemaah yang memenuhi surau Ikhwan PPI BCH.

Setelah solat sunat Aidil Fitri dan bersalam-salaman, seluruh jemaah di kalangan staf GISBH dan para tetamu menikmati juadah Hari Raya sambil mendengar persembahan nasyid di Laman Ikhwan.

Walaupun peristiharan raya di Malaysia tahun ini agak mengejutkan kerana lebih awal sehari dari tarikh yang dijangka sebelum ini tetapi persiapan tetap dapat dibuat untuk menyambutnya penuh meriah.

Di Sentul, Indonesia, Ketua Pegawai Penyelaras GISBH, Tuan Mohd Adib At-Tamimi bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri dan menyampaikan khutbah kepada kira-kira 500 warga GISBH tempatan dan wakil-wakil dari Malaysia bertempat di Wadi Harapan di sini. Majlis dimeriahkan dengan jamuan raya, persembahan nasyid dan pemberian duit raya.

Di Krung Thep Maha Nakhon (Bangkok), sekitar 100 orang menghadiri sembahyang sunat Aidil Fitri bersama YBhg Tuan Ahmad Anuar bin Abd Rahman, Ahli Lembaga Penasihat GISBH di perkampungan GISBH Kg. Khlong Neung di sini.

Khutbah Raya disampaikan sendiri oleh Pengarah GISBH Thailand Tuan Syarif Hidayatullah bin Chek Khairil Anwar. Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri dan mendengar khutbah, majlis dimeriahkan dengan sesi bergambar dan pemberian duit raya oleh YBhg. Tuan Ahmad Anuar bin Abd Rahman kepada kanak-kanak.
Seperti di tempat lain, jamuan hari raya dengan pelbagai juadah diiringi persembahan nasyid menambah kemeriahan majlis.

Di Istanbul, 5 orang wakil Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH mewakili staf GISBH Turki menerima jemputan Konsulat Malaysia di Istanbul meraikan sambutan Hari Raya yang dihadiri hampir 365 orang tetamu. Selain membawa juadah coklat moist, kuih kasui dan teh tarik, para RPU juga menyampaikan persembahan nasyid menghiburkan para tetamu yang hadir.

Di Paris, staf-staf GISBH bersembahyang Hari Raya bersama Duta Besar Malaysia ke Perancis, Dato’ Zamruni bin Khalid di rumah Kedutaan Malaysia Paris. Setelah bertakbir bersama-sama, menunaikan sembahyang dan mendengar khutbah, wakil-wakil GISBH berpeluang menikmati juadah Hari Raya sambil berbual mesra dengan TYT Duta.

Di Frankfurt, staf-staf GISBH menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri bersama Konsulat Malaysia di Frankfurt, Tuan Farzamie Sarkawi dan sejumlah rakyat Malaysia yang berada di sana. Kehadiran wakil GISBH untuk kali pertama atas jemputan Konsul Jeneral sendiri menambah seri majlis kali ini.

Di Tashkent, para staf GISBH Uzbekistan dan ahli keluarga seramai 26 orang mengadakan majlis sambutan Aidil Fitri di Restoran Nur Malaysia. Setelah solat sunat Aidil Fitri, mendengar Khutbah raya, jamuan raya dan pemberian duit raya, para staf terus membuat persiapan terakhir untuk menerima tetamu Rumah Terbuka Restoran Nur Malaysia. Seramai 40 orang tetamu di kalangan kenalan rapat GISBH warga tempatan hadir di majlis kali ini.

Di Perth, kira-kira 60 orang staf GISBH Perth menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri di Vila GISBH Perth di alamat 57 Riverview Terrace Mount Pleasant WA 6153.
Khutbah disampaikan oleh En Aizal bin Amat. Majlis dimeriahkan dengan jamuan raya, persembahan dan sesi bergambar. Majlis yang meriah ini dihadiri seramai 95 orang termasuk 7 orang tetamu.

Di Amman, seramai 60 orang staf GISBH Jordan menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri di Vila GISBH Amman di Haiyu Sahabah dan mendengar khutbah yang di sampaikan oleh Ketua Setiausaha Zon, Tuan Rizal bin Rosli diikuti dengan jamuan, persembahan nasyid dan pemberian duit raya.

Di Kaherah, seramai 40 orang staf GISBH menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri di Vila GISBH Kaherah di New Cairo. Khutbah Raya tahun ini disampaikan oleh En Inamullah At Tamimi. Majlis dimeriahkan dengan jamuan raya, persembahan nasyid, pemberian duit raya dan sesi bergambar kenangan.

Di Singapura, seramai 22 warga GISBH Singapura menyambut Aidilfitri pada 3hb Mei di North Bridge Road, Singapore dengan bersembahyang sunat dan mendengar khutbah. Majlis dimeriahkan lagi dengan tayangan perutusan Aidilfitri 1443H oleh Ybhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH, serta penyampaian cendera hati dan duit raya kapada seluruh staf GISBH, jamuan dan sesi bergambar.

Begitulah suasana sambutan 1 Syawal tahun ini di sebahagian pusat perniagaan GISBH seluruh dunia. Moga-moga dengan benar-benar kembalinya jiwa-jiwa umat Islam kepada fitrah asalnya yang suci murni, Allah bantu segala usaha lahir kita untuk membela agama-Nya di seluruh aspek kehidupan agar seluruh manusia hidup aman, makmur dan harmoni bermula dari Aidil Fitri pasca Covid-19 ini.

Views: 3

Reviews for Aidilfitri di sambut meriah warga GISBH seluruh dunia

There are currently no reviews for Aidilfitri di sambut meriah warga GISBH seluruh dunia
Scroll to top