RAWANG, 29.09.2023
Setelah beberapa perasmian yang dilakukan oleh YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH di Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes di sini pagi ini telah disambung dengan program-program hingga ke malam untuk memeriahkan lagi Karnival Maulidurrasul 1445H di sini.
Di sebelah petang telah diadakan Panduan Kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dari Klinik Kesihatan Rawang yang diwakili oleh
Dr Izyana Syazlin bt Ibrahim, Pakar Perubatan Keluarga KK Rawang dan pasukannya.
Banyak panduan telah dikongsi dan dibuka soal jawab yang membantu para pendengar menyelesaikan masalah mereka khasnya berkaitan penyakit cacar yang mudah berjangkit.
Di sebelah petang juga telah diadakan Taklimat dan Demonstrasi Pemadaman Kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang banyak membantu para pendengar berhadapan kecemasan bila berlaku kebakaran.
Taklimat yang jelas berserta demonstrasi pemadaman di lapangan bukan sahaja mudah difahami malah ditambah dengan soal jawab yang membantu orang ramai mendapat lebih kefahaman berkaitan kebakaran.
Di samping itu terdapat Aktiviti Sukaneka Kanak-kanak, golongan yang disayangi oleh Rasulullah SAW yang sangat meriah di padang Laman Ikhwan.
Di sebelah malam pula para hadirin dihidang dengan Ceramah Perdana Maulidurrasul oleh Ustaz Wan Muzammil bin Wan Harun, Imam Masjid At-Takwa, Desa Subang Permai yang menyentuh rentetan sejarah Rasulullah SAW termasuk kisah ayahanda baginda sejak sebelum kelahiran Rasulullah lagi yang sangat memberi kesan kepada para pendengar.
Ceramah diselang selikan dengan Persembahan Kebudayaan dari Generasi Harapan dengan nasyid-nasyid yang menambah cinta dan rindu kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
Moga dengan program-program yang menarik dan berfaedah sempena Karnival Maulidurrasul ini menambah rasa rindu kepada baginda untuk menjadi sebaik-baik manusia, iaitu orang yang paling banyak berkhidmat dengan orang lain seperti yang selalu disarankan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali.