BATANG KALI, 07.10.2022
Seramai 24 orang Remaja Pembela Ummah Lelaki (RPUL) GISBH, telah menyertai dua aktiviti ‘outdoor’: ‘hiking dan camping’ di atas tanah seluas tiga ekar, milik Dato’ Andri Aidham bin Ahmad Badri, seorang kenalan rapat GISBH, di sini pada 7-8 Oktober 2022.
Ini merupakan kumpulan pertama RPU yang dilibatkan dalam aktiviti selama satu hari dua malam ini yang dijangka akan berterusan untuk beberapa siri akan datang.
Antara yang dipelajari dari aktiviti ini ialah bagaimana mengemudi ‘inflatable boat’, cara yang tepat dalam mengendalikan perkhemahan dan berjalan di dalam hutan.
Dato’ Andri merupakan seorang pengamal undang-undang dan rakan kongsi Syarikat Guaman Kadir Andri & Partners mempunyai minat dan pengetahuan mendalam dalam aktiviti perkhemahan dan mendaki, telah memberi panduan dan berkongsi pengetahuan di bidang ini kepada para RPUL.
Antara panduan yang dikongsikan ialah perlunya RPUL menguasai ilmu asas dalam hutan seperti kompas, ilmu penanda arah dan mempunyai peralatan perkhemahan yang lengkap.
Untuk membina tapak perkhemahan di lokasi berdekatan sungai perlu berhati-hati terhadap risiko kenaikan paras air secara tiba-tiba lebih-lebih lagi pada musim hujan. Seterusnya untuk strategi keselamatan, kedudukan khemah-khemah itu sendiri perlu dipasang mengelilingi surau.
Selain dari itu, di sudut rohaninya, aktiviti perkhemahan ini melatih jiwa berani di kalangan RPUL, pandai meletakkan diri dalam pergaulan, mengamalkan sikap bekerjasama dalam menempuh apa jua bahaya dan cabaran dalam hutan seperti menghadapi binatang buas dan sebagainya.
Aktiviti ini merupakan cetusan rasa Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali untuk mempersiapkan remaja-remaja yang cergas, lasak, berdisiplin dan bersedia dalam berhadapan segala kemungkinan untuk membantu masyarakat bila keadaan memerlukan seperti ketika bencana banjir, orang hilang, kebakaran, kemalangan dan lain-lain.
Ia diselaraskan oleh Ketua Penyelaras GISBH merangkap ketua RPU GISBH sedunia, Tuan Mohd Adib At-Tamimi agar majoriti para RPUL dapat mengikutinya.
Islam memandang pendidikan utama manusia itu melibatkan anggota dalamannya iaitu roh, akal dan nafsunya. Fizikal hanya mengikut kehendak hatinya. Pun begitu, latihan fizikal perlu dilakukan kerana orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah.