SENDAYAN, 28.08.2023
YBhg Tuan Hj Fadhil Md. Yasin, Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH dan beberapa orang pimpinan telah menghadiri program Kota Sufi Se-Nusantara yang diadakan di Masjid Sri Sendayan di sini, baru-baru ini.
Program 2 hari 3 malam dari 25 hingga 27 Ogos itu adalah perkampungan yang menghimpunkan para syeikh-syeikh dan pencinta jalan kesufian diisi dengan forum dan bicara sufi serta muzakarah dari para masyaikh dari dalam dan luar negara.
Majlis besar yang julung-julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pertubuhan Nahdhatul Ulama’ Malaysia (NA’AM), Pertubuhan G-Tariq, Masjid Sri Sendayan, Akademi Warisan Nusantara (AWAN), Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD) Universiti Islam Selangor dan tvsufi.com.
Program ini bertujuan memuzakarahkan ilmu kesufian yang menjadi teras kemajuan, keharmonian dan kestabilan sesebuah negara dan memartabatkan kesufian sebagai wadah pembinaan tauhid yang murni.
Melalui Kota Sufi ini juga, pihak pengajar berharap dapat menyemarakkan tasawuf sufi sebagai teras dalam pembangunan peradaban, di samping itu mereka juga berharap agar anggota masyarakat mendapat ruang mengenali lebih dekat para masyaikh sufi, para mursyid tarekat yang masih hidup.
Di majlis ini juga diharapkan dapat mempromosi maklumat dan saluran tarekat yang benar lagi berdaftar untuk diamalkan.
Sepanjang 3 hari para peserta dihidangkan dengan 14 kuliah yang disebut sebagai Bicara Sufi, 2 buah forum dan satu majlis zikir pimpinan Syeikh Mohd Hasif bin Syaikh Murtadza
(Syaikh Tarekah Al-Ahmadiah Al-Idrisiah Al-Rasyidah Al-Dandarawiah
Di antara para ulama dan masyaikh yang terlibat menyampaikan kuliah dan berforum ialah Syaikh Dr. Syuhadak Mahmud Al-Jaafari, AJK Fatwa Negeri Sembilan, Syaikh Tarekah Al- Jaafariyah Al-Ahmadiah Al-Muhammadiah, Prof. Dr. Habib Sayyid Abdul Hamid bin Ali Al- Mahdaly Al-Husaini Al-Azhari, Pengasas Jami’ah Al-Imam Al-Ghazaly, Terengganu, Syaikh Dr. Haji Jahid bin Haji Sidek Al-Khalidi, Mursyid Tarekah Naqsyabandi Khalidi & Ahli Jilsah Turuq Sufiyyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Tuan Guru Baba Ahmad Ridouddin Bin Abd Wahab, Mudir Maahad Ihya’ Ulumiddin, Pulau Pinang dan Rais Am Pertubuhan Nahdhatul Ulama’ Malaysia (NA’AM), Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Jaafar, Zawiyah As-Siddiqiyah At Tahqiqiyyah, Serkam, Melaka, Syaikh Dr Zikmal Fuad bin Muhammad, Tuan Guru Babussalam Langkat XIII, Maulana Wan Aswadi bin Wan Mat Yim Al Mujaddidi, Dr KH Ali M.Abdillah, Sekretaris Awwal Jam’iyyah Ahli Thariqah Al- Mu’tabarah An-Nahdliyyah (JATMAN), Dr Wan Abdul Qadir Al Fathani, Setiausaha Jam’iyyah Ulama’ Pattani, Maulana Sulaiman bin Muhammad Soleh dari Kemboja, Tuan Guru Baba Haji Ghazali Bin Ahmad Al-Fathani, Ketua Lajnah Fatwa Majlis Agama Islam Patani dan Pengasas Pondok Serkam, Patani, Sidi Syaikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani, Kerukunan Ulama’ Nusantara (KUN) dan lain-lain.
Selain dari mendaftar sebagai peserta, GISBH juga menghantar team media untuk membuat liputan iaitu mengambil gambar di sepanjang majlis dan menghebahkan di media sosial untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke majlis ini.
Oleh kerana baru sahaja selesai mengadakan ekspo dan persembahan pentas besar-besaran anjuran Kementerian Perdagangan Thailand di Narathiwat, GISBH tidak sempat menyertai aktiviti perniagaan di sini, begitu juga tawaran Kumpulan Generasi Harapan untuk mengadakan persembahan Hadrah sangat menarik minat pihak penganjur tetapi tidak dapat dibuat kerana kesuntukan masa dengan jadual program yang telah lengkap.
Beribu-ribu orang pengunjung dan peserta datang setiap hari untuk mengikuti siri kuliah yang disusun serta membeli bahan-bahan bacaan berkaitan Islam, tasawuf, alim ulama Nusantara dan lain-lain di gerai yang disediakan di ruang masuk pintu utama masjid.
Di malam terakhir, sebanyak 9 resolusi Kota Sufi Se-Nusantara telah dibacakan dan majlis berakhir dengan rasminya dengan ucapan perasmian penutup oleh YAB Dato’ Seri Hj Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Moga program yang dijalankan ini mencapai matlamat seperti yang telah dirancang dan digariskan demi kebaikan seluruh umat Islam di Malaysia.