Anak Presiden UMNO berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah

Views: 118

MEKAH, 17.07.2022
Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO dan suaminya Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff serta rombongan telah tiba ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah (WBDIH) untuk melawat haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW di sini baru-baru ini.

Tetamu yang tiba di WIBDH pada 14.07.2022 jam 4.30 petang dari hotel penempatan itu terus dialu-alukan dan mendapat taklimat ringkas daripada En. Miqdam Mahdom, staf GISBH di sini.

Antara yang hadir ialah; Mohd Hafez Halimi, Nelydia Senrose, Dato’ Kamarulazlan, Datin Rita Sosilawati, Zulhilmi Mukhtar, Normadora Mohd Nor, Dato’ Saiful Safwan, Datin Nur Fareena Mohd Azmir, Yang Arif Shaiful Azli Jamaludin dan Faizal Azli.

Seperti pengunjung yang lain, di sini para tetamu bukan sahaja dapat melihat secara dekat haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW seperti unta, kuda, kambing, kambing biri-biri, keldai dan lain-lain malah berpeluang memberi mereka makan serta bergambar.

Tetamu juga dapat melakukan riadhah ringan iaitu sukan sunnah berkuda dan memanah. Semuanya itu dibuat dengan niat untuk menambah rindu kepada Nabi Muhammad SAW.

Setelah selesai semua aktiviti dan melawat seluruh WBDIH, tetamu dijamu dengan minum petang menu Malaysia iaitu roti canai, cucur udang, ais krim Ikhwan dan teh tarik membuatkan mereka terasa seolah-olah berada di Malaysia.

Dato’ Saiful dan isterinya sempat menghubungi Dato’ CEO GISBH melalui aplikasi ‘What’s App’ menceritakan suasana kunjungan mereka ke WBDIH dan hidangannya yang enak.

Setelah minum petang, para tetamu menunaikan solat Maghrib berjemaah di lapangan yang dijadikan surau umum pengunjung oleh pihak WBDIH dan bergerak pulang ke hotel penginapan.

Di dalam perjalanan, para tetamu juga mengambil peluang singgah makan malam di Restoran Nur Malaysia Mekah.

Dato’ Nurulhidayah dalam ulasannya mengatakan;
“Saya mengalu-alukan jemaah umrah dan haji untuk datang ke sini kerana kita boleh merasai pengalaman di padang pasir tetapi kita rasa makanan Malaysia. Siapa yang merindui makanan Malaysia, di sinilah tempatnya. Tadi kami dihidangkan dengan cucur udang, roti canai dan teh tarik memang ‘Malaysian taste’. Secara peribadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Global Ikhwan kerana mengadakan tempat yang seperti ini, saya doakan segala usaha Global Ikhwan berjaya dan mendapat tempat juga di hati penduduk Saudi.”

Dato’ Saiful pula mengucapkan tahniah dan berbangga kerana rakyat Malaysia telah bertapak di tanah sendiri di Mekah dan mendoakan kejayaan dan semua perancangan dimakbulkan Allah.

Artis, Nelydia Senrose pula mengatakan beliau tidak menyangka ada anak Melayu yang boleh bangunkan tempat sebegini di mana banyak aktiviti berasaskan sukan sunnah Rasulullah dilaksanakan yang memberi kita lebih rasa dekat bagaimana kehidupan Rasulullah dahulu.

Moga kedatangan para tetamu membawa bersama mereka sebanyak-banyak keberkatan dan pulangnya pula memberi sebesar-besar keampunan kepada seluruh warga GISBH.

Views: 118

Reviews for Anak Presiden UMNO berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah

There are currently no reviews for Anak Presiden UMNO berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah
Scroll to top