Bekas Ketua SPRM melancong ke Uzbekistan dengan pakej GITT

Views: 446

TASHKENT, 26.12.2023
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Tan Sri Abu Kasim Mohamed telah memberi kepercayaan kepada GISBH dengan mengambil pakej percutian bersama keluarganya ke Uzbekistan melalui Global Ikhwan Travel & Tours (GITT) setelah dipromosikan sendiri oleh TYT Ilham Tuah Ilias, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan di sini baru-baru ini.

Kedatangan beliau ke Uzbekistan adalah sebagai memenuhi jemputan Kementerian Anti Korupsi Uzbekistan, di mana beliau juga merupakan Penasihat Kementerian Anti Korupsi Qatar.

Beliau diiringi isteri, YBhg Puan Sri Bebee Rasheedah Zachariah Merican, sepasang anak mereka dan setiausaha peribadinya.

Destinasi pertama mereka adalah ke kawasan peranginan pergunungan Amirsoy yang terletak 65 km dari bandar Tashkent dilengkapi kemudahan chalet penginapan, restoran dan prasarana asas yang lain. Ia terkenal dengan aktiviti berski, meluncur salji di lereng pergunungan, papan luncur dan menaiki kereta kabel.

Dalam perjalanan ke Tashkent mereka singgah di Tasik atau Empangan Hidroelektrik Charvak yang sangat indah dengan pemandangan langit biru bertemu dengan air tasik yang membiru.

Ia terletak di daerah Bostanlik, dibina pada tahun 1964, dilengkapi rumah rehat, sanatorium, hotel, pusat peranginan, kem, perhentian perkhemahan, aktiviti paragliding, ski dan papan salji pada musim sejuk, memanjat tebing dan sukan lasak yang lain.

Destinasi seterusnya ialah Makam Syeikh Zainuddin Baba, sebagai menunaikan hasrat Puan Sri Rasheedah yang menyatakan agenda utamanya ke Uzbekistan adalah untuk melawat makam wali-wali Allah.

Pada keesokan harinya Tan Sri Abu Kasim dan rombongan dibawa melawat ke Makam Imam Al Bukhari di Samarkand dengan kenderaan rasmi kerajaan diiringi staf GITT.

Seterusnya rombongan Tan Sri di bawa membeli belah ke Bazar Chorsu yang merupakan pasar besar tradisional, terletak di tengah ibukota Tashkent di mana dijual pelbagai keperluan harian penduduk tempatan.

Di hari terakhir lawatan, sebelum bertolak pulang ke Malaysia, rombongan singgah makan tengahari di Restoran Nur Malaysia di Tashkent.

Menjawab pertanyaan Tan Sri Abu Kassim mengenai keberadaan syarikat GISBH di Tashkent, wakil syarikat menjelaskan ia bermula sejak tahun 1992 lagi bilamana pengasas GISBH, Almarhum Ustaz Hj Ashaari Muhammad menghantar pelajar-pelajarnya ke sini untuk belajar bahasa Rusia.

Selanjutnya Tan Sri Abu Kassim memaklumkan untuk bekerjasama dengan pihak GISBH di bidang pelancongan pada masa depan dan menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Ybhg Tuan Haji Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH di Malaysia.

Wakil GITT telah menyampaikan cenderahati bagi pihak PE GISBH kepada Tan Sri Abu Kassim sejurus sebelum beliau dan rombongan berlepas pulang.

Semoga segala perancangan yang memberi kebaikan kepada Islam dan umatnya Allah tunaikan dan realisasikan untuk kepentingan bersama.

Views: 446

Reviews for Bekas Ketua SPRM melancong ke Uzbekistan dengan pakej GITT

There are currently no reviews for Bekas Ketua SPRM melancong ke Uzbekistan dengan pakej GITT
Scroll to top