SATUN, 5 September 2024 – Pengerusi Eksekutif GISB Holdings, YBhg Datuk Hj. Nasiruddin Mohd Ali, telah mengadakan pertemuan dengan Senator Thailand, Mr. Yusof@Suria 66, yang juga merupakan bekas Ketua Polis Satun di sini hari ini.
Dari 200 orang Senator di Parlimen Thailand, hanya 10 daripadanya beragama Islam, dan Mr. Yusof adalah salah seorang daripada mereka.
Berbeza dengan Malaysia, di Thailand, Senator tidak dibenarkan menjawat jawatan sebagai menteri, namun mereka memainkan peranan penting sebagai pihak yang mengawasi kuasa eksekutif dan wakil rakyat, termasuk menteri. Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, Senator mempunyai kuasa untuk memecat wakil-wakil rakyat atau menteri yang terlibat. Senator dilantik untuk tempoh selama lima tahun.
Dalam perbincangan tersebut, Datuk PE GISBH mengemukakan pelbagai soalan yang dijawab oleh Senator Yusof dengan tenang dan ceria. Antaranya Senator Yusof memaklumkan sebagai senator ruang lingkup kuasanya meliputi seluruh Thailand dan beliau bertanggung jawab di bahagian undang-undang.
Senator Yusof turut meminta panduan daripada Datuk PE GISBH dalam melaksanakan tugasnya, memandangkan beliau perlu membina pasukannya sendiri untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.
Di kesempatan itu, Datuk Hj. Nasiruddin mencadangkan agar Senator mempereratkan hubungan dengan Chula dan Yang Dipertua Majlis Agama di setiap wilayah bagi bekerjasama membangunkan wilayah-wilayah orang Islam khususnya di bidang pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan.
Menurutnya, Raja Thailand mengawal ahli politik melalui undang-udang yang gubal oleh para senator antaranya Akta 112 yang bertujuan untuk melindungi Raja sedangkan sebahagian ahli politik cuba menghapuskannya.
“Sama dengan raja diri kita iaitu hati. Hati kalau rosak, mata rosak, tangan rosak, perbuatan rosak. Kalau baik, semuanya akan baik. Nak jaga hati kena makan makanan yang halal, pastikan buat perbuatan yang baik. Kita perlu jaga raja diri kita, seperti menjaga raja kita,” ujar Datuk Nasiruddin yang disetujui oleh Senator.
Di akhir pertemuan, Datuk PE GISBH menyarankan agar permakaman Syeikh Abdul Somad Al-Falembani dijadikan sebuah kompleks, pusat menyatukan umat Islam satu ASEAN memandangkan makam ini diziarahi ramai kerana kitab Syeikh Abdul Samad seperti Kitab Sirrus Salikin dipelajari berdekad lamanya oleh umat Islam Asia Tenggara.
Pertemuan yang penuh mesra ini memperlihatkan kesungguhan Senator Yusof, yang berusia 66 tahun, dalam berbakti kepada rakyat Thailand, khususnya umat Islam.