RAWANG, 27.08.2023
Satu Ekspedisi Ziarah Mahabbah Pemuda Masjid Cahaya Iman (MCI), Bandar Country Homes telah diadakan dengan kerjasama Syarikat GISBH di sini semalam.
Ekspedisi diketuai Ybhg Tuan Reza Mahar, Ketua Biro Pemuda MCI bersama 40 orang peserta lelaki dan perempuan bermula dengan program solat subuh berjemaah di masjid tersebut diikuti kuliah subuh sebelum memulakan perjalanan dengan menaiki bas dua tingkat VVIP milik syarikat GISBH.
Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hashim @ Fauzi Mat Rani, Nazir MCI dan disepanjang perjalanan diisi dengan tazkirah disampaikan oleh Ybhg Ustaz Muhammad Uzair Foat Imam 2 MCI.
Dalam tazkirahnya, Ustaz Imam Uzair menyentuh tentang kepentingan berdoa dalam kehidupan, larangan supaya tidak sesekali kita menganiaya orang kerana doa orang teraniaya itu makbul, sebaliknya jika kita dizalimi atau dianiaya, kita doakan yang terbaik untuk orang yang menganiayai kita.
Para peserta kemudiannya menikmati sarapan pagi di Kafe Ikhwan Pusat Perniagaan Ikhwan Subang, sebelum memulakan perjalanan ke Kompleks Nasyrul Quran di Precint 14, Putrajaya.
Kompleks ini merupakan pusat penyelidikkan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan, pengagihan dan pengeluaran Al Quran kedua terbesar di dunia selepas Kompleks Raja Fahd di Madinah.
Di kompleks ini para peserta ekspedisi berpeluang menyaksikan tayangan video dokumentari mengenai Kompleks Nasyrul Quran, melawat Galeri Mushaf Al Quran tempatan, antarabangsa dan kilang percetakan Al Quran.
Para peserta ekspedisi juga berkesempatan berkenalan dan beramah mesra dengan pelawat-pelawat yang datang.
Seterusnya peserta ekspedisi dibawa menikmati sajian makan tengahari Nasi Beriani Karachi di Kafe Ikhwan dan Ikhwan Delights cawangan Putrajaya di Precint 14, sebelum menunaikan solat fardhu zohor di Masjid Besi atau Masjid Sultan Zainal Abidin di Precint 3.
Imam Uzair memuji masakan di Ikhwan Delights kerana menurut beliau bau Nasi Karachi Kambing yang dihidangkan benar-benar menggamit memori silamnya sewaktu menuntut di Pakistan.
Di akhir program Tuan Reza telah menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Imam Uzair.
Nazir dan imam MCI sangat berbesar hati dengan program yang dijalankan, Imam Uzair dan peserta ekspedisi teruja dapat berekpedisi menaiki bas dua tingkat VVIP GISBH malah ini merupakan pengalaman pertama buat Imam Uzair.
Mereka merancang untuk mengadakan lagi ekspedisi pada masa akan datang melibatkan ahli jawatankuasa MCI dan juga mengadakan pakej-pakej lawatan yang serupa pada masa akan datang menaiki bas Ikhwan.
Semoga lawatan ini dapat menyuburkan lagi rasa cinta pada Allah, rindu pada Nabi serta kasih sayang sesama manusia.