CEO GISBH dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa

Views: 229

KUALA LUMPUR, 18.07.2022
YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten bin Abd Rahim, CEO GISBH menerima surat perlantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa atau International Muslim Consumers Association (IMCA) daripada Pengerusi IMCA, YBhg Dato’ Nadzim Johan@Toqqi merangkap ketua aktivis PPIM di Majlis Mini Forum Kebaikan Global dan Keamanan Dunia bersama Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa di sini hari ini.

YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dilantik melalui persetujuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama-sama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Pengalaman YH Dato’ Lokman dan pimpinan GISBH mengembangkan perniagaan sehingga ke 17 buah negara akan memudahkan beliau untuk bertemu dan menyatukan pengguna-pengguna Muslim seluruh dunia.

Pengerusi IMCA, Dato’ Nadzim Johan @ Toqqi menyatakan pembentukan IMCA bukan bertujuan menentang mana-mana pihak tetapi adalah semata-mata mempertahankan hak-hak dan maruah pengguna Muslim di seluruh dunia.

Penasihat Syarie IMCA Dr. Mohd Hisham Sultan At-Tamimi, Timbalan Presiden Kesatuan Ulama-ulama Negara Syam dan juga bekas Timbalan Rektor Universiti Al Bayt, Jordan dalam rakaman video ucapannya antara lain memuji usaha-usaha untuk membela golongan yang miskin dan lemah kerana ia adalah kerja-kerja para nabi dan rasul.

Turut diadakan Mini Forum ‘Kebaikan Global dan Keamanan Dunia bersama Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa yang dikendalikan oleh Tengku Rozidar binti Tengku Zainol Abidin, Pengasas Iqra For Change.

YH Dato’ Lokman Hakim mengajak semua yang hadir untuk bekerjasama agar memberi kesan yang positif bukan sekadar kepada negara dan tanah air ini, juga kepada umat manusia seluruh dunia kerana di mana-mana berlaku krisis, huru-hara, peperangan dan kesusahannya kembali kepada semua.

Menurutnya lagi, ini adalah satu perkhidmatan yang hendak disebar luaskan kepada seluruh umat manusia tidak kira di mana mereka berada kerana setiap seorang ada hubungan dan keperluan dengan manusia yang lain. Setiap individu memerlukan antara satu dengan lain malah sebenarnya seluruh manusia adalah pengguna dan Islam mengajar kita bersyukur kepada Allah ketika mendapat apa-apa nikmat seperti makanan umpamanya dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat mengusahakannya seperti nelayan, petani dan buruh kasar maka di situlah lahirnya kasih sayang sesama manusia. Dan semua itu akan terjadi apabila Tuhan dikenali, dicintai dan ditakuti.

Program yang diadakan di Ikhwan Delights Sungai Penchala itu mengumpulkan tokoh-tokoh kepimpinan NGO antaranya; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) (Dr.) Sani Araby Al-Kahery, Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol, Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan , YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengurus Besar YBK Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengasas Kumpulan Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim, Pengasas rangkaian Restoran Ali Maju, Dato’ Jawahar Ali, Presiden SME Link, Dato’ Rozali Che Pin dan Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan – YBCare, Datin Dr. Hajah Hartini Osman.

Moga umat Islam semakin kuat dengan saling bertolong bantu tanpa mengira batas politik dan geografi seterusnya membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

Views: 229

Reviews for CEO GISBH dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa

There are currently no reviews for CEO GISBH dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa
Scroll to top