KAHRAMANMARAS, 09.02.2023
Delegasi misi bantuan kemanusiaan GISBH cawangan Turkiye bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah bergerak ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di Kahramanmaras Tenggara Turkiye, di sini baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISBH YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada negara Turkiye dan semua mangsa yang terlibat.
Dalam misi ini, GISBH telah menyumbangkan RM100,000.00 kepada tabung dana bantuan yang diuruskan MAPIM manakala MAPIM sendiri telah memperuntukkan RM1 juta sebagai sumbangan awal kepada mangsa bencana gempa bumi di 10 buah negeri di Tenggara Turkiye.
Misi tersebut disertai 8 staf GISBH termasuk 6 Remaja Pembela Ummah Lelaki yang diketuai Pengarah GISBH Turki dan Eropah, YBhg Tuan Abulfida Nasiruddin mengiringi delegasi MAPIM dengan menaiki dua buah motorhomes milik GISBH, manakala MAPIM disertai 11 sukarelawan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Sani Araby.
Dalam operasi ini, GISBH menyediakan dua buah motorhomes bagi keperluan logistik, surau, dapur, tempat rehat, tempat penyediaan makanan serta pelbagai persiapan sepanjang misi.
Dua buah motorhome milik GISBH dan sebuah minibus Sprinter Mercedes berkonvoi dari Istanbul menuju ke Kahramanmaras sebagai destinasi pertama menerima bantuan.
Cuaca sejuk dan permukaan bumi bersalji menambahkan lagi cabaran perjalanan yang bakal menempuh beberapa lokasi bencana dengan jarak perjalanan sejauh hampir 2,000 km.
Delegasi akhirnya telah selamat tiba di Kahramanmaras lebih kurang jam 9 malam setelah menempuh perjalanan hampir 30 jam.
Pada 6 Februari 2023, bahagian tengah dan selatan Turki serta utara Syria dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitude di mana keseluruhan bahagian bandar Kahramanmaras musnah dan sehingga 13 Febuari 2023, seramai lebih 36,000 orang telah terkorban.
Moga usaha pasukan GISBH membantu team penyelamat MAPIM memudahkan mereka melaksanakan tugas-tugas menyelamat di tapak bencana yang sangat memerlu bantuan dan pertolongan.