PATTANI, 03.01.2023
Dr. Mohd Hisham Sultan At-Tamimi, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Negara-negara Syam bersama wakil GISBH diiringi oleh Baba Suwari telah menziarahi Baba Hj. Ahmad Hj. Abu Bakar, 86 tahun, di pondok pengajiannya di sini, semalam.
Baba Hj. Ahmad merupakan tuan guru paling tua yang masih mempunyai kelas pengajian (masih mengajar) dan menjadi rujukan kepada semua tuan-tuan guru di Pattani.
Pondok pengajiannya terletak di Kampung Mak Mawi, Yakrang, Pattani telah berkhidmat melahirkan tokoh-tokoh agama aliran pondok kepada umat Islam selama lebih 50 tahun.
Hari ini, Baba Hj. Ahmad mempunyai 50 orang pelajar yang sedang belajar di pondoknya dan istimewanya beliau mempunyai kelas pengajiannya peringkat tinggi yang dikhususkan kepada tuan-tuan guru yang mempunyai madrasah atau pondok masing-masing untuk menadah menyambung pelajaran dengannya.
Baba Hj. Ahmad juga ada jadual mengajar di Malaysia iaitu di Seremban, Negeri Sembilan dan di Kelang, Selangor.
Setelah berbincang beberapa tajuk mengenai ilmu Islam dengan Dr. Hisham At-Tamimi, Baba Suwari menceritakan perkembangan syarikat GISBH kepada beliau dan menyampaikan hasrat Excutive Chairman GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali yang mempelawanya ke Malaysia untuk melawat pusat-pusat perniagaan GISBH.
Tuan Guru Hj Ahmad berbesar hati menerima jemputan tetapi meminta dimaklumkan awal untuk menyusun jadual pengajian beliau yang sedia ada.
Moga hubungan baik GISBH dengan para alim ulama di Selatan Thailand ini sesuai dengan cita-cita pimpinan GISBH untuk laksanakan motto syarikat, Silaturrahim; ziarah, dakwah dan tijarah.