Executive Chairman GISBH mengajak para alim ulama bersama dan bekerjasama membina semula Serambi Mekah

Views: 24

PATTANI, 11.02.2023
Executive Chairman GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali mengajak para alim ulama bersama dan bekerjasama membina semula Serambi Mekah, Pattani ketika berucap di Seminar Persatuan Institut Pendidikan Pondok di Wilayah Sempadan Selatan sempena Israk Mikraj di Hotel Park in Town di sini hari ini.

YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dijemput menghadiri seminar tersebut sebagai tetamu khas diiringi oleh para Ahli Lembaga Penasihat GISBH yang dihadiri hampir 1000 orang peserta di kalangan Tuan-tuan Guru pondok dan tenaga pengajar utama pondok, lelaki dan perempuan.

Turut hadir dan memberi ucapan ialah Tuan Wan Muhammad Noor Matha 79, mantan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Thailand juga bekas menteri di beberapa kementerian dan kenalan pengasas GISBH, Almarhum Ustaz Ashaari Muhammad.

Dalam ucapannya, YBhg Chairman memaklumkan kepada para hadirin bahawa keberadaan GISBH di Pattani untuk menjalinkan kasih sayang dengan motto silaturrahim, ziarah, dakwah dan tijarah, inilah kerja-kerja yang dibuat oleh Rasulullah SAW.

“Kita perlu keluarkan barang-barang Islam. Kita tidak perlu bergantung dengan barang-barang orang bukan Islam. Dalam pengajian Pondok telah ada ilmu tentang perniagaan, perhubungan antara satu sama lain. Pondok melahirkan insan-insan. Inilah aset. Ibarat kilang ia telah ada. Dia nak berperanan, itulah sistem hidup kita, yang dikatakan Islam itu adalah cara hidup,” ujar beliau lagi.

Tuan Chaiman menegaskan kedatangan GISBH ke Pattani kerana di sini saudara-saudara seislam dan inilah Serambi Mekah yang terkenal kerana pernah melahirkan guru-guru pondok yang berjasa seperti Syeikh Daud Al-Fatoni, yang melahirkan murid-murid yang ramai, melalui zaman yang gilang gemilang. Mengapa Serambi Mekah dibiarkan tidak gilang gemilang seperti dahulu? Sekarang sampai masa kita nak bersihkan Serambi Mekah, nak naikkan imejnya.

Apabila pelancong datang, mereka dapat melihat kehidupan Islam dari masyarakat yang telah menjadi contoh, khususnya pondok-pondok yang ada pengajian-pengajian Islam, untuk membentuk manusia kembali kepada Allah.

“Kedatangan GISBH membawa rasa bersama dan ingin bekerjasama khasnya di bidang ekonomi. Ekonomi ini kena dibangunkan kerana kita baca kitab tentang muamalat
tetapi kenapa kita beli barang-barang dengan bukan Islam yang tak tentu halal? Kenapa kita tak buat kilang-kilang memproses makanan halal, itu tanggung jawab kita?” ujar Tuan Nasiruddin lagi.

Tuan Nasiruddin juga menceritakan di dalam GISBH remaja dilatih untuk mempraktikkan Islam sebagai cara hidup kerana mereka aset negara ini di masa akan datang. Jika 35 ribu orang pelajar Pondok dapat digerakkan dengan sistem ini, ia akan sangat membantu membangunkan Islam di Pattani.

Islam yang melahirkan kasih sayang kepada sesama Islam juga kepada yang bukan Islam. Jadi kedatangan GISBH untuk melahirkan perpaduan dan kasih sayang, mengeratkan hubungan persaudaraan.

Tuan Nasiruddin juga berkongsi pengalaman beliau berdakwah di negara-negara Scandinavia di Sweden, Norway, Denmark dan Finland dengan akhlak dan membawa kenderaan motorhomes yang canggih mendapat sambutan baik dari rakyat negara tersebut walaupun sedang isu membakar Al-Quran.

Moga apa yang disampaikan oleh Tuan Nasiruddin dalam program ini menjadi asas untuk membina perhubungan yang lebih baik di masa akan datang.

Views: 24

Reviews for Executive Chairman GISBH mengajak para alim ulama bersama dan bekerjasama membina semula Serambi Mekah

There are currently no reviews for Executive Chairman GISBH mengajak para alim ulama bersama dan bekerjasama membina semula Serambi Mekah
Scroll to top