Filem IMAM, GISBH dijemput ke Majlis Malam Gala dan tayangan perdana.

Views: 9

KUALA LUMPUR, 28.02.2023
Seramai 30 orang staf GISBH terdiri daripada 20 Remaja Pembela Ummah Lelaki dan 10 Remaja Pembela Ummah Muslimah telah menghadiri Malam Gala dan sidang media di Panggung Sari Istana Budaya sempena tayangan perdana filem Imam, di sini baru-baru ini.

Kehadiran wakil GISBH ini sebagai memenuhi jemputan Sutradara En. Meor Hashim Manap yang merupakan pengarah filem Imam yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 02.03.2023.

Rombongan GISBH diketuai YBhg Tuan Ajwad At-Tamimi Ashaari mewakili Presiden RPU, YBhg Tuan Adib At-Tamimi Ashaari, Tuan Ahmad Hanzalah Ahmad Zahari, En. Afdhal Suhaimi dan team media GISBH.

Majlis turut dihadiri oleh pelakon utama IMAM seperti Dato M. Nasir dan Faizal Hussin, Dato Jalaluddin Hassan, Dato Rahim Razali, Vanida Imran dan Natasha Charmaine.

Filem “Imam, Pemimpin sebuah filem dan satu wasiat”, merupakan adaptasi dari novel karangan Seniman Negara, Almarhum Datuk Abdullah Hussain, pernah dinobatkan sebagai pemenang pertama Hadiah Novel Nasional Utusan Melayu Public Bank Utusan Publication And Distributors 1992/1994.

Apa yang ingin diketengahkan En Meor menerusi filem ini adalah persoalan berat mengenai konflik masyarakat yang berlaku zaman berzaman iaitu penyakit masyarakat Melayu Islam seperti hasad dengki, bergaduh, tuduh-menuduh, rebut kuasa, khurafat, bidaah-membidaahkan dan kafir-mengkafir manakala peranan masjid hanya terhad kepada solat dan ritual keagamaan semata-mata. Justeru kedatangan Imam Haji Mihad yang mahu membuat pembaharuan tidak disenangi segelintir penduduk setempat.

En Meor sangat berbesar hati dengan kehadiran perwakilan dari GISBH, yang memberi sokongan moral pada usaha beliau dalam menerbitkan filem Islam.

Beliau seorang pengarah yang berminat dalam penerbitan filem-filem Islam, mengenali GISBH sejak 2015, pernah melawat Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes, Rawang, mengadakan kursus penerbitan filem untuk syarikat ini dan pernah melibatkan staf GISBH dalam penerbitan salah sebuah tele-movienya.

Pada beliau duit dan keuntungan bukan keutamaannya dalam menerbitkan filem ini, yang pentingnya ia menjadi pengajaran kepada generasi akan datang.

Semoga akan lahir lebih ramai karyawan, pengarah-pengarah filem yang berjiwa Islam untuk menerbitkan filem-filem yang dapat mendidik penonton hidup berakhlak, berkasih sayang, bertolak ansur antara satu sama lain hingga melahirkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.

Views: 9

Reviews for Filem IMAM, GISBH dijemput ke Majlis Malam Gala dan tayangan perdana.

There are currently no reviews for Filem IMAM, GISBH dijemput ke Majlis Malam Gala dan tayangan perdana.
Scroll to top