PATTANI, 23.12.2023
GISBH telah mengadakan Majlis Kasih Sayang sempena ulang tahun pertama keberadaannya di selatan Thailand dengan pertemuan dan dialog YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH dan para Ahli Lembaga Penasihat syarikat (ALP) dengan para kenalan syarikat di Restoran Ikhwan Delights Pattani di sini hari ini.
Majlis yang bermula dari 9 pagi hingga 12 tengahari itu dihadiri lebih 100 orang tetamu di kalangan pemimpin masyarakat, alim ulama, usahawan dan ahli perniagaan dari Malaysia dan Thailand juga pelbagai lapisan masyarakat.
Antara tetamu yang hadir, YBhg Datuk Abdul Malik Abdullah, Presiden Federation of Malaysian Business Associations (FMDA), Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi, Mantan Senator Dewan Negara Malaysia, Datin Hartini Osman, Penasihat Pentadbiran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), En. Ahmad Burhan Tipong, Penasihat Menteri Pengangkutan Thailand, En. Nordee Abdul Rahman, Pegawai Daerah Nong Chik, Tn. Hj. Wan Abdul Rahman Tok Adam, Pengerusi Lembaga Pentadbiran Mukim Pujud, Baba Hj. Abdullah bin Ibrahim Al-Maula, Penasihat Jameyah Ulama Fathoni Darussalam, Hj. Wan Ismail Wan Ahmad, Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Pattani dan Pn. Ankate Leelapaiboon, Pengerusi Persatuan Perikanan Pattani.
“Orang nampak Ikhwan Delight Pattani (IDP) macam tutup je. Saya bimbang tidak ada orang (Pelanggan) yang datang. Tapi bila GISBH buat program seperti hari ini, (yang datang berbilang kaum dan agama), harap-harap selepas ini orang-orang Buddha atau bukan Islam pun berani masuk IDP. Saya juga akan beritahu NGO-NGO, pegawai-pegawai saya supaya datang makan-makan di sini. Sekiranya susah hendak berhubung dengan pegawai-pegawai saya, cukup melalui saya sahaja. Bahkan saya sendiri boleh bagitahu mereka. Saya juga akan beritahu rakan sejawat dengan saya iaitu saya akan maklumkan juga kepada DO-DO yang lain dalam kawasan Patanni malah di 3 Wilayah yang lain tentang keberadaan GISBH di Thailand.
“Apa yang GISBH buat seperti yang ditayang dalam TV sebentar tadi cukup berjaya dan diharapkan tahun hadapan (tahun kedua) lebih-lebih lagi berjaya,” En. Nordee Abdul Rahman, Pegawai Daerah Nong Chik.
“Tahniah kepada Tn. Chairman, Tuan Pengerusi kita kerana beliau berusaha dengan gigih sekali dengan semua angkatan GISBH untuk melebarkan sayap di selatan Thailand ini.
“Jadi saya berharapan, apa yang di hasratkan di hati dan juga perancangan akan berjaya dan diberkati dan dirahmati Ilahi.
“Tahniah Tn. Chairman dan Ahli Lembaga Penasihat dan kesemua keluarga GISBH di atas kejayaan ini. Satu tahun di selatan Thailand dan akan InsyaAllah bertahun-tahun lagi kita dapat meneruskan perjuangan kita dalam silaturrahim antara Islam,” Datuk Dr. Ras Adiba Mohd Radzi, Mantan Senator Dewan Negara Malaysia.
“Terima kasih kepada Tn. Nasiruddin yang membuka projek perniagaan di Wilayah ke Pattani. Terima kasih.
Tahniah kepada GISBH, saya dapat datang ke Majlis Kasih Sayang sempena ulang tahun pertama GISBH di sini. Dengan adanya GISBH di sini, nampak jelas kerjasama antara Malaysia dengan Thailand khususnya peniagaan restoran dan pengeluaran produk-produk makanan halal.
“Tahniah kepada GISBH atas usaha-usaha ini. Kerjasama antara Malaysia dan Thailand ini adalah satu kebaikan. Selepas ini bolehlah kita teruskan kerjasama dari sudut kebudayaan tempatan, makanan, pakaian yang tepat halal mengikut Islam.
“Terima kasih datang ke Pattani, nanti kami akan berkunjung ke Malaysia pula. Inilah rahmat perhubungan. Kita telah bangunkan restoran, kita boleh buka lain-lain perniagaan pula selepas ini,” ujar Tn. Tira Mintrasak, Mantan Gabenor Yala, Pattani, Nakhonsithammarat dan Narathiwat.
Komentar-komentar daripada para hadirin memberi gambaran sokongan mereka terhadap usaha-usaha yang di buat oleh pimpinan GISBH.
Ia selaras dengan hasrat YBhg Tn. PE ketika memberi respon dalam program dialog,
“Kedatangan kami dengan motto Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah. Ini semua kerja para Nabi dan sepatutnya juga kerja para umat Islam. Inilah yang kami sambung akan perjuangan ini.”
Moga segala usaha GISBH di Pattani dan selatan Thailand mendapat bantuan dan rahmat Allah Taala untuk kebaikan bersama.