RAWANG, 15.06.2023
GISBH melalui Media Ikhwan dan Ikhwan TV telah mengadakan sebuah Bengkel Lakonan Bersama Datuk Nor Hilal bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Hilal Azman seorang pelakon veteran, penulis skrip, pengarah terkenal tanah air dan ahli perniagaan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Bengkel tersebut telah berlangsung selama 3 hari termasuk satu hari taklimat di Panggung Ikhwan, Pusat Perniagaan Ikhwan (PPI) Bandar Country Homes, disertai 13 orang peserta.
Bengkel diadakan sebagai menyahut hasrat Pengerusi Eksekutif GISB Holdings, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dalam satu pertemuan bersama grup Al Kahfi Pictures diketuai En Mior Hashim Manaf yang turut dihadiri Datuk Hilal Azman.
Ketika itu, Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH berkata “Islam ini terhina dimana-mana, setiap orang belalah di posisi masing-masing. Kalau bidang media, drama, filem, maka belalah. Masyarakat sudah begitu rosak” .
Dato Hilal begitu terkesan dengan kata-kata tersebut dan bertekad untuk merealisasikannya dan beliau berazam untuk melakukan sesuatu.
Maka tercetuslah sebuah lakonan dalam masa yang singkat, di mana selepas menempuh kursus selama 3 hari, mereka berhasil melahirkan sebuah filem pendek yang mengambil masa hanya satu hari penggambaran.
Filem ini berkisar tentang hati, di mana hati yang baik akan melahirkan peribadi yang baik manakala hati yang jahat melahirkan sikap yang buruk, justeru manusia perlu berhati-hati dengan perjalanan hati mereka.
Idea cerita yang ‘instant’ timbul dari hasrat Tuan Pengerusi Eksekutif yang mahukan sebuah filem panjang dan pendek berkisar mendidik masyarakat, contohnya soal taharah yang menjadi punca syarat sahnya solat. Ini banyak terjadi di merata tempat.
Datuk Hilal sendiri merasakan bengkel ini sangat luar biasa kerana ia diadakan bukan untuk melahirkan pelakon tetapi nak melahirkan individu yang ada ‘rasa’.
Tegasnya lagi, beliau ingin berbakti selagi diberi peluang berbekalkan umur yang berbaki untuk melahirkan generasi pelakon yang ‘berjiwa’ dengan mengatakan ‘dari sini saya datang dan ke sini juga saya kembali’.
Datuk Hilal yang lebih mesra dengan panggilan ‘daddy’ di kalangan para penggiat seni meminta peserta bengkel memanggilnya dengan gelaran ‘walid’ atas saranan Pengerusi Eksekutif GISBH demi mengikat hubungan yang lebih mesra dengan rasa kekeluargaan.
Dalam bengkel ini Walid telah memperkenalkan beberapa teknik pengenalan baru dalam dunia lakonan, walaupun secara dasarnya ia adalah asas seperti mana-mana bengkel lain, tetapi mempunyai sentuhan rohani yang merupakan satu-satunya dalam dunia dan agak berlainan berbanding sebelumnya.
Justeru, grup ini diberi nama Grup ASAH Ikhwan TV yang membawa maksud sesuatu yang tumpul itu perlu diasah berulangkali sebagaimana sifat semulajadi manusia.
Datuk Hilal merasakan satu keajaiban berlaku dalam bengkel ini bilamana mereka dapat menyelesaikan pengambaran hanya dalam satu hari sahaja.
Dalam ucapan penutupnya, Datuk Hilal melahirkan rasa syukur dapat membimbing grup ASAH Ikhwan TV dan berharap agar semua peserta mendapat manfaat dan taat pada pemimpin dalam melaksanakan semua arahan.
Semoga akan lahir golongan karyawan seni tanahair yang dapat mendidik hati masyarakat dengan nilai-nilai murni, penyelesai pelbagai krisis masyarakat.