MARAWI CITY, 29.06.2023
GISBH dengan kerjasama Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) telah menganjurkan ibadah korban untuk umat Islam di Kampung Dulay, di sini hari ini.
Dua ekor lembu jantan sederhana besar telah disembelih dengan kerjasama penduduk kampung disaksikan YDH Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, wakil Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, juga wakil YKPPM, En Suhaimi dan empat orang staf GISBH serta beberapa orang kenalan GISBH di Marawi.
Antara kenalan GISBH yang turut hadir ialah Atty. Elias R. Yusoph, Former COMELEC Commissioner, Former City Prosecutor, Commercial Law Reviewer dan isterinya Hja. Soraya Zaalica Pangcoga-Yusoph, DTI.Philippine Trade Training Center – Global MSME Academy Deputy Executive Director, Dimnatang Radia dan Dr. Feisal Idris.
Ibadah korban tersebut diadakan di perkarangan Masjid Kampung Dulay secara bergotong royong oleh lebih kurang 30 orang penduduk kampung dengan diketuai oleh Imam Nasir.
Cara menyembelihnya kelihatan seperti kaedah orang-orang lama di kampung iaitu menutup bahagian leher lembu dengan daun pisang ketika disembelih agar darah yang memancut keluar tidak mengenai penyembelih dan mereka yang membantu berdekatan dengannya.
Setelah dilapah, daging lembu korban tersebut dipotong-potong dan ditimbang untuk diagihkan kepada penduduk kampung.
Atty. Elias R. Yusoph dan isteri mewakili penduduk Kampung Dulay mengucapkan ribuan terima kasih kepada GISBH dan YKPPM dan para penyumbang serta umum rakyat Malaysia kerana prihatin dengan saudara se-Islam di bumi Marawi, Mindanao dengan mengadakan korban tahun ini.
Moga dengan ibadah korban seperti ini dapat mengembirakan hati umat Islam walaupun belum saling mengenali dan menjadi sebab agar terus terhubung dan berlakunya kerjasama untuk menguatkan perpaduan ummah.