KAZAN, RUSIA 17.05.2025
GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah mengambil bahagian dalam Forum Kazan Dunia Islam-Rusia 2024 dan Ekspo Halal Rusia 2024, yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei di sini.
Delegasi GISBH yang hadir terdiri daripada Pengerusi Eksekutif (PE) Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Ahli Lembaga Penasihat YBhg. Tn. Hj. Fadhil Yasin, Pengarah Zon YBhg. Tn. Afdhaluddin Latif, Ahli Lembaga Penasihat Muslimah YBhg. Pn. Hjh. Azura Mohd Yusof, pimpinan Muslimah GISBH, Puan Roqayyah Zakaria dan 15 orang lagi.
Ekspo dan forum halal bertaraf antarabangsa ini melibatkan penyertaan daripada 87 negara seluruh dunia dan 87 wilayah di Rusia.
GISBH merupakan satu-satunya syarikat bumiputra yang mengambil bahagian di bawah Pameran Wilayah Rusia, hasil kerjasama PE GISBH dengan kenalan GISBH, Mr. Marat Kabayev, melalui syarikatnya International Assembly of Islamic Business (IAIB).
Lebih daripada 20,000 peserta yang berdaftar mengambil bahagian dalam pameran produk, forum atau seminar di program ini.
Booth GISBH yang berkeluasan 120 meter persegi dengan kadar sewaan sebanyak USD19,200 antara yang menjadi tumpuan ramai.
Antara produk yang dipamerkan di booth GISBH termasuk Enzim Fateh, Coklat Ikhwan, Jus Ikhwan, kuih bepang, dan tudung. Tudung Muslimah GISBH kelihatan menarik minat ramai pengunjung termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Antara tetamu penting yang melawat booth GISBH ialah Duta Malaysia ke Moscow, Dato’ Loon Lan Cheong, wakil dari Region di Siberia, wakil IAIB di Degistan, dan ramai lagi. Para tetamu disajikan dengan teh tarik Malaysia.
PE GISBH membawa moto Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah, yang menekankan bahawa apa yang hendak dipromosikan bukan sahaja produk halal tetapi meliputi seluruh kehidupan seorang Muslim.
Di antaranya, manusia perlukan hiburan maka atas panduan Tn. PE GISBH, para pengunjung telah dihiburkan dengan nasyid berjudul Ekonomi Islam, Kasih Sayang dan selawat daripada kumpulan Generasi Harapan, untuk menyuburkan rasa cinta kepada Baginda Rasulullah SAW yang membawa Islam hingga nikmatnya kita kecapi bersama.