MARAWI CITY, 11.12.2023
Setelah menghantar beberapa rombongan untuk bersilaturahim, ziarah dan dakwah dengan menziarahi tokoh-tokoh masyarakat, mengadakan seminar Halal dan MoU di Mindanao State University, ke udara di stesyen Radio Pilipinas,
melawat kilang mi masyarakat Islam, mengadakan persembahan nasyid di madrasah dan mengeluarkan produk mi kuning Ikhwan, GISBH mengorak langkah membuka sebuah kafe masakan Malaysia di Marawi City di sini hari ini.
Kafe yang diberi nama NUR MALAYSIA Corner @ DROPITEA, berkapasiti 40 orang pelanggan ini terletak di New Capitol, Marawi City berdepan dengan Pejabat Gabenor Lanao del Sur.
Antara menu yang disediakan ialah pelbagai jenis roti canai seperti roti kosong kuah kari, roti telur, roti sardin, sarang burung, cheese, sardin, tisu dan pisang. Pelbagai jenis mi yang dipanggil ‘pancit’ dalam bahasa Maranao, seperti mi goreng udang, ayam dan Pattaya. Begitu juga nasi goreng seperti nasi goreng udang, ayam dan Pattaya. Manakala pilihan minuman pula ialah teh tarik, nescafe tarik dan teh O ais lemon.
Pelanggan perlu menaiki tangga untuk ke kafe ini kerana ia berada di tingkat 2 tetapi kelebihannya pengunjung dapat melihat pandangan lebih luas dari atas sambil menikmati hidangan mereka.
Kedudukannya pula memanjang ke jalan raya dan terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu kawasan terbuka untuk menebar roti canai yang boleh dilihat dari tepi jalanraya, ruang pelanggan ‘open air’, ruang dalam dengan penyaman udara, kawasan penyediaan air minuman serta dapur persediaan masakan panas.
Kafe ini buat masa ini diberi guna secara percuma dari kenalan GISBH di Marawi ini, Puan Sohaya yang inginkan kafe yang menyediakan makanan yang betul-betul halal dan suci.
Di hari pertama pembukaannya hari ini, ia telah mendapat sambutan yang baik dari para pelanggan dengan kebanyakkannya memilih masakan Malaysia yang pernah mereka rasa dan sukai.
Antara komen mereka;
“Saya rindu makanan Malaysia, sebenarnya di sini juga ada kafe masakan Malaysia tetapi rasanya tak seperti ini yang dibuat sendiri orang-orang Malaysia.”
“Saya tak makan mi di sini sebab tahu mi yang dikatakan halal pun pekerjanya orang bukan Islam tetapi di sini boleh makan mi sebab kamu orang Islam sendiri yang buat.”
Ramai juga yang memuji roti canai secara ditebar secara ‘live’ kerana kebanyakan roti canai di sini menggunakan roti pratha dalam bungkusan dan tidak ‘fresh’.
Harga makanan siap di Filipina agak tinggi seperti teh tarik P60 (RM5) Mi Goreng P110, Nasi Goreng P110, Roti Kosong P60 dan ia tidak menghairankan kerana kos hidup di sini sangat tinggi contohnya isi semula gas memasak satu tong berharga P120 (RM120).
Moga akan bertambah erat lagi ikatan persaudaraan antara GISBH dengan kenalan baru di Filipina untuk melengkapkan motto silaturrahim, ziarah, dakwah dan tijarah dengan bermulanya perniagaan NUR MALAYSIA Corner di Marawi City ini seperti yang dihasratkan oleh YBhg Tn Hj Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH.