PUTRAJAYA, 14.10.2023
GISBH menghantar 130 orang wakil diketuai oleh YBhg Tuan Hj. Nik Hazani Nik Muhammad, Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH untuk menghadiri program Zikir Perdana Sedunia 2023 anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Sufi Antarabangsa di Masjid Putra, di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Sufi Antarabangsa, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, penganjuran program ini sebagai usaha ke arah peradaban umat Islam di Malaysia untuk ingat Allah dan cintakan Rasulullah SAW.
“Program ini adalah anjuran kali keempat yang sebelum ini dilaksanakan pada tahun 2015, 2016 serta 2017 di lokasi yang sama.
“Selaras dengan matlamat Malaysia Madani yang mempunyai asas keimanan seperti masyarakat Madinah yang sentiasa mengingati Allah SWT,” katanya.
Terdapat pelbagai aktiviti di program ini antaranya khatam Al-Quran, simposium peradaban ihsan, tahlil perdana, zikir dan qasidah bermula dari 10 pagi hingga 10.30 malam.
Simposium ini diisi oleh dua orang ahli panel Maulana Wan Mohd Aswadi Wan Mat Yim Dan Prof Dr Abdul Manam Mohammad.
Maulana Wan Mohd Aswadi adalah Mudir Madrasah Tahfiz Raudhatul Huffaz dan Ustaz Hadis di Madrasah Miftahul Uloom
Hulu Langat, Selangor. Beliau juga merupakan Syeikh Tariqat Naqsyabandiah Mujaddidiah yang antara lain menerangkan adab-adab ikhtilaf atau perbezaan pendapat supaya tidak berlaku perpecahan.
Prof. Madya Dr. Abdul Manam pula adalah pensyarah Pusat Penataran Ilmu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga Panel Pakar Tasawuf, Pusat Maklumat Penyelidikan Islam JAKIM. Antara yang beliau sentuh ialah mengenai ilmu yang mula-mula diangkat oleh Allah ialah ‘Al-Khusyu’, iaitu ilmu yang berkait dengan qalbu atau hati iaitu ilmu Tasawuf atau Ihsan.
Selepas Asar diisi dengan tahlil perdana yang mana didoakan pemimpin-pemimpin yang berjasa kepada Malaysia yang telah pergi menghadap Ilahi.
Di malam hari pula diisi dengan zikir, selawat dan qasidah yang diselangi dengan ucapan Perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Program seperti ini wajib diteruskan di tahun-tahun akan datang di Masjid Putra ini, siapapun yang menjadi kerajaan sebagai lambang pengukuhan ummah dengan mengenepikan perbezaan-perbezaan di kalangan kita.
“Yang penting ialah soal pengisian itu mesti mengenepikan warna-warna yang berbeza di antara kita. Yang penting bagaimanakah Malaysia sebagai sebuah negara contoh, walaupun mungkin bukan yang terbaik tetapi kita berusaha ke arah yang terbaik serata mungkin yang boleh,” ujar beliau sebelum mengakhiri kata-kata perasmiannya.
GISBH atas panduan Pengerusi Eksekutif, YBhg Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali sangat menyokong program ini dan berharap ia dapat diteruskan dan ditambah dengan elemen hiburan dan sukan sunnah yang sesuai untuk menarik golongan muda dari pelbagai latar belakang menyertainya.
Moga dengan adanya majlis seperti ini, rahmat dan kasih sayang Allah turun kepada rakyat dan negara Malaysia agar hidup aman damai dan harmoni serta Allah selesaikan segala kesulitan dan masalah.