GISBH Maritim ikuti kursus persediaan Mate Domestik <500GT

Views: 50

SUBANG, 06.09.2022
Seramai 43 orang staff GISBH yang diketuai sendiri oleh Pengerusi Eksekutifnya, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, serta Ahli Lembaga Penasihat GISBH Ybhg Tuan Mohd Adib Attamimi dan Ybhg Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman serta team GISBH Maritim atau lebih dikenali sebagai Ikhwan Maritim telah berjaya menamatkan satu kursus persediaan Mate Domestik <500GT (MD<500GT) di sini baru-baru ini.

Kursus yang dijalankan ini adalah bertujuan melayakkan para peserta menjadi Pegawai Dek, yang bertaraf “Chief Officer” di mana ia merupakan jawatan kedua tertinggi di atas kapal di bawah Nakhoda atau Kapten.

Peserta kursus didedahkan dengan pelbagai maklumat penting dan perkembangan terkini tentang kemajuan teknologi dalam industri maritim, guna memacu GISBH Maritim di atas halatuju yang betul selaras dengan arus permodenan global.

Selesai mengikuti kursus ini, para peserta perlu menduduki satu peperiksaan di bawah Jabatan Laut untuk layak mengendalikan bot berkuasa <300GT dan dibenarkan membawa pelancong belayar sekeliling perairan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Seterusnya peserta perlu mengambil kursus BT (Basic Training) dan kursus Radio juga menghadiri Peperiksaan Lisan (Oral Exam), di Jabatan Laut Malaysia.

Peserta yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kekompetenan (Certificate of Competency), melalui pengalaman belayar di laut selama setahun dan menjalani kursus lagi untuk melayakkan mereka digelar Mualim yang layak mengendalikan kapal berkuasa <500GT.

Kursus MD<500GT ini dikelolakan dengan kerjasama Akademi Maritim Penjana Ilmu Sdn Bhd dan GISBH di Dewan Perdana Ekhwan, Pusat Perniagaan Ikhwan Subang dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat GISBH yang menyediakan fasiliti dewan, tempat penginapan, makan dan minum sepanjang kursus.

Kursus yang berlangsung selama 7 hari bermula dari 6hb hingga 12hb September 2022 ini turut disertai pengarah-pengarah syarikat GISBH serta wakil Ikhwan Maritim dari setiap cawangan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

En Mohd Nazir Hamzah Pengarah Urusan Akademi Maritim Penjana Ilmu Sdn Bhd, memberi pendedahan dalam kursus ini tentang kefahaman dan ilmu asas dalam bidang maritim kepada peserta manakala Kapten Abdul Samad Shaik Osman, Timbalan Ketua Pengarah 2 Bahagian Operasi Jabatan Laut pula berkongsi pengalaman beliau dalam bidang ini. Antara tenaga pengajar yang lain pula ialah Cikgu Ahmad Azuan bin Ismail dan Cikgu Muhamad Syarif bin Mohd Amir.

Dalam ucapannya, Kapten Abdul Samad menyatakan kekagumannya dengan Pengerusi Eksekutif GISBH yang turut serta mengikuti kursus secara atas talian dari Turki dalam usaha membawa syarikat GISBH terlibat dalam pengendalian jentera dan aktiviti maritim yang kurang didominan oleh kaum bumiputera.

Di akhir kursus pihak GISBH memberikan cenderahati berupa produk-produk Ikhwan kepada tenaga pengajar dan tetamu diikuti dengan sesi bergambar.

Moga segala usaha yang dibuat oleh GISBH Maritim ini dapat memperkasa ilmu dan kemahiran berkaitan aktiviti laut sebagai persiapan membanyakkan khidmat yang memberi manfaat pada semua golongan masyarakat.

Views: 50

Reviews for GISBH Maritim ikuti kursus persediaan Mate Domestik <500GT

There are currently no reviews for GISBH Maritim ikuti kursus persediaan Mate Domestik <500GT
Scroll to top