YALA, 18.12.2022
GISBH meneruskan hubungan silaturrahim di Wilayah-wilayah Selatan Thailand setelah mengadakan Karnival Kebudayaan Islam Sempena Maulidurrasul di Pattani bulan lepas dengan menziarahi Majlis Agama Islam Wilayah Yala dengan diketuai oleh Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, YBhg Tuan Nik Hazani Nik Muhammad di sini, hari ini.
Turut mengiringi Wakil GISBH ialah Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Negara-negara Syam, Dr Mohd Hisham Sultan At-Tamimi yang berada di sini dalam rangka menziarahi para alim ulama dan tuan-tuan guru di Selatan Thailand.
Di Majlis Agama Islam Wilayah Yala, rombongan dibawa ke lobi tetamu dan disambut oleh Naib Yang dipertua Majlis Agama Islam Yala, Ustaz Abdul Aziz Che Toh.
Keberadaan Dr Hisham At-Tamimi mendapat sambutan hangat dari AJK Majlis Agama Islam Yala yang majoritinya berlatarbelakangkan pendidikan di Al-Azhar dan Timur Tengah memandangkan beliau berkelulusan Universiti Al-Azhar Mesir di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.
Setelah memperkenalkan diri, Dr Hisham menceritakan pengalaman beliau bersama pengasas GISBH, Almarhum Ustaz Ashaari lebih 30 tahun yang lalu dan masih meneruskan hubungan hingga sekarang kerana GISBH bukan sahaja memperjuangkan pendidikan Islam di majlis pengajian semata-mata malah melaksanakannya sebagai cara hidup seperti di bidang ekonomi dan lain-lain.
Pendapat Dr Hisham dipersetujui oleh Baba-baba yang telah berpeluang melawat GISBH di Malaysia bulan Ogos yang lalu dan melihat sendiri aktiviti GISBH di pelbagai bidang kehidupan.
GISBH juga ingin dijadikan contoh oleh para hadirin dalam pembinaan keluarga apabila mereka mengetahui 3 wakil GISBH yang hadir mempunyai keluarga poligami dengan 4 orang isteri dan anak yang ramai.
Setelah berkenal-kenalan dan bermesra, Tuan-tuan guru di kalangan AJK Majlis Agama Islam yang kebanyakannya mempunyai pondok pengajian masing-masing mempelawa rombongan menziarahi pusat pengajian mereka pula.
Tuan Guru Romli, seorang Syeikh Tarekat Syazaliah, sangat gembira dapat bertemu rombongan GISBH dan Dr Hisham At-Tamimi, memohon agar didoakan kesihatannya dan berharap agar rombongan melawat pondok pengajiannya. Beliau pernah terkena tembakan di kepala yang menyebabkan tangan kanannya lumpuh.
Tuan Hj Wan Daud Salaeh, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Yala pula memberi kepada semua ahli rombongan kad nama beliau untuk terus saling berhubung selepas ini.
Dr Muhammad Ridwan, AJK Majlis pula merancang untuk membawa pengetua-pengetua sekolah swasta yang berjumlah 100 orang mengadakan lawatan sambil belajar ke GISBH Malaysia untuk bertukar fikiran dan mencari pengalaman.
Majlis Agama Islam Wilayah Yala mempunyai 30 orang Ahli Jawatan Kuasa yang digilir-gilirkan berkhidmat di kalangan alim ulama setempat mengikut bahagian-bahagian yang telah ditetapkan seperti Akademik, Pentadbiran Masjid-masjid, Qadhi Syarie, Kebajikan, Kewangan, Pembangunan Sosial, Sumber Manusia, Pendidikan, Keluarga dan Pusaka, Fatwa, Dakwah, Halal dan lain-lain.
Moga perhubungan dan silaturrahim dengan para alim ulama dan semua golongan di Wilayah Yala menambah-kuatkan ikatan persaudaraan sesama muslim di Wilayah Selatan Thailand dengan GISBH dan membuahkan kerjasama di masa akan datang.