GISBH menziarahi Mudir Pondok Dala

Views: 170

YARING, PATTANI, 19.01.2023
Kenalan GISBH di Yala, Baba Dr. Wan Abdul Kadir Wan Ahmad telah membawa wakil-wakil GISBH termasuk Dr. Mohd Hisham Sultan At-Tamimi bertemu Ketua Jamiyah Ulama Fathoni Darussalam, Tuan Guru Baba Haji Abdul Karim bin Hasbullah di kediaman beliau di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Mudir Pondok Al-Imaniah Ad-Dalawiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Dala beralamat di Tempat 5, Mukim Makjong, Daerah Yaring, Wilayah Pattani merupakan seorang ulama yang terkenal di Pattani.

Pondok Dala ini pula telah berbakti melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama Fatani sejak diasaskan 86 tahun yang lalu dan Tuan Guru Hj Abdul Karim merupakan generasi ketiga yang meneruskan sistem pengajian pondok di sini.

Sekarang Pondok Dala mempunyai seramai 350 orang pelajar berumur di antara 16 hingga 40 tahun manakala Maahad Tahfiz (yang juga berada di sini) mempunyai seramai 150 orang pelajar.

Dr. Hisham yang merupakan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Negara-negara Syam banyak bertanya kepada beliau mengenai silibus pelajaran dan kitab-kitab yang diajar di pondok ini memandangkan pondok ini sangat terkenal dan telah lama bertapak di Pattani.

Walaupun dalam keadaan kurang sihat kerana telah menjalani dua kali pembedahan jantung, Tuan Guru Abdul Karim tetap melayani para tetamu malah menghantar mereka di luar rumah ketika ingin pulang.

Baba Abdul Karim berminat untuk melawat GISBH di Malaysia bagi melihat lebih dekat pencapaian GISBH di bidang ekonomi, pendidikan, pertanian dan penternakan juga pengeluaran produk-produk halal yang diperlukan oleh masyarakat Islam.

Moga hubungan baik GISBH dengan para ulama di Pattani akan menambah keberkatan kepada seluruh staf dan juga syarikat GISBH yang bercita-cita untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Views: 170

Reviews for GISBH menziarahi Mudir Pondok Dala

There are currently no reviews for GISBH menziarahi Mudir Pondok Dala
Scroll to top