RAWANG, 10.05.2024
Telah berlangsung satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara GISB Holdings dan National Commision On Muslim Filipinos
(NCMF) di Ibu Pejabat GISB Holdings, Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes, di sini baru-baru ini.
NCMF beribupejabat di Diliman Quezon City, merupakan sebuah jabatan rasmi kerajaan Filipina yang menguruskan dan mengendalikan perkara berkaitan hal ehwal Islam dan kebajikan masyarakat Islam di Filipina.
Ini juga merupakan kunjungan balas setelah Tn. Hj. Nasiruddin dan rombongan GISBH berkunjung ke pejabat mereka baru-baru ini.
NCMF baru sahaja dinaikkan setaraf kenenterian dan setiausahanya Hon. Sheikh Sabuddin N. Abdurahim turut dilantik sebagai menteri bagi hal ehwal umat Islam seluruh Filipina.
Sebagai setiausaha merangkap ketua delegasi NCMF, Hon. Sheikh Sabuddin N. Abdurahim mewakili NCMF menandatangani MoU ini manakala GISB Holdings Sdn. Bhd. diwakili oleh Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat.
Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah Ir. Rahmatol M. Mamukid – Pengarah IV, Biro Hal Ehwal Ekonomi Muslim (BMEA), Almojin D. Pandapatan, Ketua Bahagian Pembangunan Koperasi (CDD) dan Biro Perhubungan Ekonomi Muslim (BMEA) serta Hazrat Macabandod, Pengarah Urusan Halal atau Pengarah Biro Pelancongan (Section Head/DMO).
Memorandum persefahaman ini diwujudkan bagi membolehkan kedua belah pihak menjalankan kerjasama dalam pelbagai program, projek dan aktiviti yang dirancang melalui Bahagian Halal NCMF.
Dalam perjanjian ini, GISB Holdings akan bekerjasama dengan NCMF dalam hal mengeksport produk halal berkualiti tinggi dan diperakui dari Malaysia ke Filipina untuk barangan makanan dan minuman, kosmetik, produk penjagaan diri, farmaseutikal dan banyak lagi.
Seterusnya GISB Holdings dan NCMF BMEA akan menguruskan logistik dan pengedaran produk halal yang diimport, memastikan penghantaran yang cekap dan tepat pada masanya kepada peruncit, pemborong dan pengguna di seluruh Filipina.
GISB Holdings juga akan bekerjasama dengan NCMF untuk mengadakan kempen, promosi, turut serta dalam pameran perdagangan, bekerjasama dengan peruncit tempatan untuk mempamerkan dan mengedarkan produk halal.
Antara peranan pihak NCMF pula adalah bertanggungjawab dalam pelaksanaan program latihan keusahawanan dan penyediaan prasarana bagi semua program serta aktiviti yang telah dirancang bersama.
Segala usahasama yang dilakukan adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang telah dipersetujui kedua belah pihak.
Semoga melalui kerjasama ini, segala usaha-usaha membantu umat Islam Filipina dalam mengamal cara hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan beroleh kejayaan.