GISBH Pattani sertai Sambutan Ulang Tahun ke 52, Pondok Kampung Rai, Yala

Views: 648

YALA, 31.10.2023
Tujuh orang wakil GISBH Pattani diketuai oleh Tuan Mohd Aminuddin Sani telah menyertai Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke 52, Pondok Kampung Rai, di sini semalam.

Majlis Kesyukuran selama dua hari yang diadakan di Maahad Ar Rashidin atau Sekolah Sittisart Wittaya, 52 Jalan Suk, Kampung Rai, Daerah Than To, Wilayah Yala ini bertujuan mengutip dana wakaf untuk membina asrama pelajar dan meluaskan surau yang akan menelan perbelanjaan tidak kurang daripada RM1 juta.

Seperti biasa tradisi kutipan amal di kalangan masyarakat Melayu di Thailand ini, para tetamu dihidangkan dengan jamuan nasi kerabu yang diusahakan secara gotong royong oleh penduduk kampung.

Bahan-bahan pelengkap hidangan nasi kerabu seperti hirisan ulam-ulaman, serondeng ikan, sambal dan budu telah disiapkan di meja hidangan di bawah khemah-khemah yang disediakan.

Ketika nasi kerabu dihidangkan, terdapat beberapa orang pelajar menjaja telur rebus, keropok dan air minuman kepada para pengunjung. Semua duit jualan ini juga disalurkan ke tabung dana wakaf pembinaan asrama sekolah.

Setelah menikmati nasi kerabu, para tetamu boleh menghulurkan sumbangan di tabung yang disediakan atau secara atas talian melalui akaun bank.

Wakil GISBH terlibat dalam majlis ini dengan mengadakan persembahan nasyid untuk menghiburkan para tetamu diketuai oleh Tuan Yahya Zakaria, Ketua Setiausaha GISBH Zon Pattani.

Baba Daud selaku pemilik dan Tuan Guru di pondok ini yang juga merupakan kenalan kepada Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali sudi menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil GISBH sebaik selesai persembahan dan bergambar beramai-ramai sebelum berpisah.

Untuk kutipan dana wakaf setakat petang itu telah mencapai sebanyak hampir 2 juta Baht atau bersamaan lebih daripada RM260,000.00.

Moga Allah tunaikan hasrat AJK Pondok Kampung Rai dalam memajukan pendidikan pondok di Yala dan izinkan GISBH terus menguatkan hubungan dengan semua pihak di Thailand demi mengembalikan kegemilangan Islam di selatan Thailand.

Views: 648

Reviews for GISBH Pattani sertai Sambutan Ulang Tahun ke 52, Pondok Kampung Rai, Yala

There are currently no reviews for GISBH Pattani sertai Sambutan Ulang Tahun ke 52, Pondok Kampung Rai, Yala
Scroll to top