KUALA LUMPUR, 14.06.2022
GISBH diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, bersama enam lagi rakan strategik telah memeterai memorandum persefahaman dengan Hab Pendidikan Khas yang diketuai pengasasnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Tujuh rakan strategik ini ialah, GISB Holdings Sdn Bhd, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Cdert Ohhsem APM, Haj Trading & Transportation Sdn Bhd, Kelab Sukan Udara Bintang, Kelab Barracuda Scuba dan Bio Ideas Solutions.
Penerbit dan pengarah, Ahmad Idham optimis melalui kerjasama itu akan dapat merancakkan lagi program yang sudah dan akan dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa.
“Melihat kepada perkembangan positif perjuangan Hab Pendidikan Khas yang memfokuskan untuk membentuk satu komuniti yang jitu, peka dan prihatin terhadap komuniti istimewa khususnya di Ampang mendapat sokongan penuh serta bantuan barangan keperluan daripada rakan-rakan strategik yang sentiasa cakna dan prihatin kepada masyarakat.”
“Melalui kerjasama ini dapat merancakkan lagi program-program yang sudah dan akan dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa bagi merealisasikan hasrat untuk terus memperjuangkan komuniti istimewa agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama masyarakat yang lain,” katanya.
GISBH dan rakan strategik yang lain akan berperanan untuk menyalurkan segala kepakaran dan kelebihan masing-masing melalui Hab Pendidikan Khas itu.
Dengan itu komuniti istimewa ini akan mendapat manfaat dari sudut bantuan barang keperluan, pendidikan, pra saringan, kelas tambahan intensif mingguan, program bersama ibu bapa anak istimewa serta kelebihan lain yang turut disediakan.
Menurut beliau lagi, “Dengan kerjasama ini memberi gambaran bahawa perjuangan ini bukan perjuangan individu tetapi ia bersama. Pembentukan sistem sokongan komuniti sememangnya satu keperluan terutamanya bagi golongan komuniti istimewa agar mereka tidak terus didiskriminasi dalam kalangan masyarakat.”
Mudah-mudahan GISBH akan terus berganding bahu bersama-sama semua pihak dalam menyelesaikan keperluan masyarakat agar kehidupan harmoni dan berkasih sayang dapat direalisasikan bersama.