PETALING JAYA, 24.08.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dijemput menghadiri Sidang Meja Bulat Menoktahkan Kemiskinan : Peranan Sektor Ketiga yang dianjurkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di sini semalam.
YBhg Tuan Nasiruddin mendapat jemputan rasmi daripada Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom sendiri yang merupakan kenalan rapat GISBH.
Program yang diadakan di Ibu Pejabat YBK Kelana Jaya, Selangor ini dimulakan dengan ucapan Datuk Zainal Abidin Sakom yang mengalu-alukan kedatangan para peserta dan menceritakan hasrat Perdana Menteri agar miskin tegar dapat dihapuskan menjelang hujung tahun ini.
Bertitik tolak dari situlah YBK menganjurkan program ini untuk mencari resolusi-resolusi daripada para cendikiawan dan NGO sebagai cadangan penyelesaian masalah ini.
Di dalam pembentangan – ‘Menoktahkan Kemiskinan: Di Mana Malaysia’ oleh YBrs. Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, Pengarah, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan antara lain menjelaskan kajian kes bagaimana negara China boleh menghapuskan kemiskinan tegar dengan syarat program yang dirancang dijalankan secara konsisten.
Apa yang berlaku di Malaysia, setiap kali bertukar pucuk pimpinan, semua program dan dasar berubah maka program yang dirancang menemui kegagalan.
Seterusnya di sesi Sidang Meja Bulat, para peserta dibahagi kepada empat kumpulan untuk membincangkan 4 tajuk iaitu Agenda Menoktahkan Kemiskinan; Sinergi Pemegang Taruh, Kelestarian Impak; Peranan Pemegang Taruh, Peranan Sektor Ketiga sebagai Rakan Kongsi Kerajaan Dalam Menoktahkan Kemiskinan dan Inisiatif Berteraskan Data; Perkongsian Pintar Kerajaan dan Sektor Ketiga.
Antara yang diketengahkan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH di sidang ini ialah kemiskinan ini tidak akan boleh dihapuskan selagi tidak wujud kasih sayang, selagi orang kaya tidak bersyukur orang miskin tidak sabar dan redha. Semua masalah yg dibentangkan adalah buah dan ia datang dari pokoknya atau dari pangkal iaitu hati. Kalau hati baik, maka buahnya baik. Kalau hati rosak, akan mengeluarkan buah yang busuk, rosak dan bahkan boleh menjadi racun.
Apabila orang-orang kaya dan orang-orang miskin benar-benar beriman segala masalah akan selesai kerana orang kaya akan jadi pemurah, dia tidak akan biarkan orang miskin hidup susah sedangkan orang miskin pula sabar dan redha, tidak meminta-minta dan membuat masalah.
Wakil GISBH juga mengajak dalam menyelesaikan masalah agar tidak terlalu bergantung kepada manusia yang hakikatnya sama-sama lemah tetapi sebaliknya bergantung kepada Allah yang Maha Kaya. Namun atas tuntutan sebagai hamba Allah, wajib berusaha ikhtiar.
Antara mereka yang hadir di program ini ialah YBrs. En Muhamad Hanapi Jamaludin, Pengasas Benevolent Malaysia, Dato’ Nadzim Johan (PPIM), Dr. Haji Razali Othman (Al-Baghdadi), Prof. Emeritus Chamhuri Siwar (UKM), Datin Norli (Wawasanita), Prof. Emeritus Dr. Mohd Fauzi Jani (UKM), Sherleen Azfiza Binti Azli (YTNB), Datin Dr Hjh Hartini Osman (Penasihat Pentadbiran dan Sumber Manusia YBK), Mohammad Nuraiman Afiq Lizam (KAGUM) dan lain-lain.
Majoriti peserta telah lebih awal mengenali GISBH samada pernah mengunjungi restoran GISBH di dalam dan luar negara termasuk Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah juga ada yang pernah sama-sama menyertai pertandingan Sukan Kuda Lasak.
Selesai Sidang Meja Bulat, En. Khalid Al Walid dari Benevolent telah berkongsi 14 resolusi yang berjaya dicapai pada sidang kali ini dan akan dibentangkan dalam satu konvensyen sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia pada 17 Okt ini di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA.
“Ikhtiar membasmi kemiskinan ini memerlukan dana yang besar, jadi kita mencadangkan sinergi antara pemain sektor swasta dalam menyumbangkan dana secara kolektif bagi tujuan mendapatkan pendanaan untuk inisiatif menoktahkan kemiskinan,” ujar Datuk Zainal Abidin Sakom.
Berdasarkan rekod YBK, ketika ini terdapat kira-kira 118,000 orang miskin tegar di negara ini.
YBhg Dato Zainal Abidin Sakom, mengucapkan terima kasih kepada para peserta dan sangat bersyukur dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali berserta rombongan.
Kelihatan keberadaan GISBH di majlis seumpama ini dinantikan oleh banyak pihak kerana GISBH memang bergelanggang di tengah masyarakat secara praktikal, lebih-lebih setelah GISBH mengadakan dialog berkenaan hala tuju negara dengan Tun Mahathir dan menghadiri Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan baru-baru ini.
Moga penglibatan GISBH di arus perdana dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat kerana sebaik-baik manusia itu mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.