KUALA LUMPUR, 17.11.2023
Penggiat Seni tanahair telah mengadakan Program Solidariti Untuk Gaza dengan kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik (IRAMA), radio Zayan, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan GISBH selaku penaja utama mengadakan Majlis Solat Hajat dan Doa Qunut Nazilah bertempat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini semalam.
Majlis bermula pada jam 6.00 petang, dengan alunan selawat dan nasyid bertemakan ketuhanan oleh Kumpulan Generasi Harapan di perkarangan masjid.
Ia diikuti dengan solat Maghrib dan solat hajat berjemaah dipimpin oleh imam bertugas, Al Fadhil Ustaz Luqman Abdul Majid.
Seterusnya pengisian tazkirah ringkas diberi oleh Ustaz Farkhan Daie dan Ustaz Nabil Ahmad mengenai pengalaman di Gaza dan perkembangan mutakhir nasib saudara seislam di Palestin.
Selaku penaja majlis, GISBH kemudiannya diberi peluang berkongsi maklumat serta perkembangan dan aktiviti terkini syarikat di dalam dan luar negara di samping menyatakan sokongan syarikat terhadap usahasama mengadakan majlis solat hajat dan doa Qunut Nazilah ini.
Dalam program ini juga, GISBH telah membuka kiosk Ayam Goreng Ikhwan – Ayyam Sihat Fateh sebagai usaha syarikat menyediakan alternatif produk yang bertepatan dengan syariat Islam kepada masyarakat.
Majlis ini turut dihadiri oleh En Ayob Abdul Majid Presiden IRAMA, perwakilan dari masjid, Al Fadhil Ustaz Ahmad Nizzam Rassali dan Ustaz Azli Ibrahim.
Selain itu, antara barisan penggiat seni tanahair yang turut hadir adalah Dato’ Haji Mohd Shukri Shahabuddin@Hattan, Dato Nasharuddin Elias@Nash, Ayahanda Sam, saudara Ali XPDC, Uchop Ahmad dan lain-lain.
Tuan Hamdi Mohd Noor, pengarah syarikat GISB Holdings, hadir mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH, Ybhg Tuan Haji Nasiruddin Mohd Ali dan Ybhg Tuan Muhammad Adib At-Tamimi, CCO GISBH yang tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
Program diakhiri dengan jamuan makan malam berupa set hidangan nasi berlauk tajaan syarikat GISB Holdings yang disediakan di ruang makan masjid.
Semoga dengan adanya majlis seumpama ini, akan lahir masyarakat yang berkasih sayang, prihatin terhadap nasib saudara seagama yang teraniaya sebagaimana hadis menyatakan ‘Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri’.