GISBH tandatangani MOA dengan TESDA, Wilayah Zamboanga, Filipina

Views: 456

DIPOLOG CITY, 24.02.2024
Satu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) telah diadakan antara pihak syarikat GISBH dengan Technical Education & Skill Development Authority (TESDA), Dipolog School of Fisheries, Wilayah Zamboanga Utara, di sini baru-baru ini.

MOA ini diadakan bagi membolehkan pihak TESDA menghantar para pelatih menjalani latihan praktikal di premis-premis GISBH dan pelatih yang berjaya akan menerima sijil kemahiran dari TESDA.

MOA ditandatangani oleh Tn. Hj. Nik Hazani Nik Mohamed mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH Ybhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, manakala TESDA diwakili oleh Honorable Mr J. Yu, Gabenor Wilayah Zamboanga Utara.

TESDA merupakan sebuah institusi pendidikan teknikal dan pembangunan kemahiran bagi memperkasa tenaga pekerja di Filipina, bertanggungjawab menetapkan hala tuju institusi, mengisytiharkan piawaian berkaitan, melaksanakan program pendidikan teknikal dan pembangunan kemahiran dan menganugerahkan sijil pengiktirafan seperti diploma.

Pihak TESDA mengenali GISBH melalui media sosial dan tertarik dengan konsep ‘halal’ yang dilagangkan oleh Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali di dalam GISBH dan ingin mempelajarinya.

Konsep halal bukan sekadar dalam penyediaan makanan, bahkan ia mencakupi setiap sudut kehidupan manusia, hendaklah dipastikan mematuhi syariat Allah.

Rombongan perwakilan GISBH diketuai oleh Tn. Hj. Nik Hazani Nik Mohamed, Tn. Afdhal Latiff dan beberapa orang staf GISBH tiba di Pejabat TESDA Pagadian City, salah sebuah bandar terbesar di Semenanjung Zamboanga pada 21 Februari.

Para delegasi GISBH telah diberi sambutan penuh hormat, dipertemukan dengan pengarah TESDA, Hon. Madam Tarhata. S. Mapandi, seterusnya dibawa berjumpa Gabenor Wilayah Zamboanga, Hon. Mr Victor J. Yu dan gabenor sangat mengalu-alukan kehadiran GISBH di Zamboanga.

Wakil GISBH kemudiannya telah menyampaikan cenderahati dan plak penghargaan mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH kepada kedua pemimpin tersebut.

Seterusnya, para delegasi dibawa melawat ke Our Lady of Triumph Institute of Technology (rakan niaga TESDA), sesi makan tengahari, diikuti lawatan ke pusat-pusat latihan kemahiran TESDA.

Destinasi seterusnya ialah TESDA School of Fisheries di Dipolog Wilayah Zamboanga Utara di mana sesi tayangan video profile GISBH diadakan dan mereka diberi penerangan tentang konsep ‘Halal’ yang disampaikan oleh Tn. Hj. Nik Hazani.

Tn. Hj. Nik Hazani juga menerangkan hasrat GISBH untuk menjalankan projek ayam dan pertanian dalam usaha membantu umat Islam tempatan mendapatkan makanan halal.

Di sini juga para delegasi dijemput melihat tempat jemuran ikan, menyaksikan kawasan pembenihan, penternakan ikan susu dan ketam serta memproses ikan susu dan ikan sardin untuk dibotolkan. Pihak GISBH juga sedia bekerjasama dengan pihak TESDA untuk bertukar pandangan dan kemahiran.

Semoga pengamalan Islam akan terus disemarakkan di seluruh bumi Filipina berkat kerjasama seumpama ini.

Views: 456

Reviews for GISBH tandatangani MOA dengan TESDA, Wilayah Zamboanga, Filipina

There are currently no reviews for GISBH tandatangani MOA dengan TESDA, Wilayah Zamboanga, Filipina
Scroll to top