GISBH terima jemputan ramah mesra dan jamuan makan daripada komuniti Malaysia di Oman

Views: 709

MUSCAT, 13.12.2023
Rombongan GISBH yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif (PE), YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali menerima jemputan makan malam di kediaman En. Kemal Rizadi Arbi, warga Malaysia di Oman di sini malam ini.

En. Kemal telah lebih 11 tahun bekerja di Muscat, Oman, sebagai Penasihat kepada Presiden Eksekutif, Pihak Berkuasa Pasaran Modal Kesultanan Oman.

Ketika mendapat tahu tentang kehadiran YBhg Tn. PE GISBH dan rombongan di Oman daripada Tn. Md Nafib, Pengarah GISBH Oman, En. Kemal terus menjemput rombongan ke rumahnya.

Antara aktiviti komuniti Malaysia di Oman ialah mereka berkumpul setiap Khamis malam Jumaat untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama mereka tetapi sempena kehadiran Tn. PE dan rombongan ke Muscat, program tersebut diawalkan sehari.

En. Kemal bukan sahaja menyambut ketibaan Tn. PE dan rombongan penuh hormat malah mengosongkan tempat letak kenderaannya untuk memudahkan kenderaan Tn. PE parkir di situ.

Dua orang Ahli Lembaga Penasihat GISBH dan anggota rombongan yang lain menaiki motorhome yang turut menjadi kebanggaan En. Kemal dan mereka yang hadir.

Suasana menjadi lebih mesra bila rombongan yang hadir bersama warga Malaysia di Oman sama-sama bersimpuh di lantai, menjamu selera menu istimewa tuan rumah berupa hidangan nasi ambeng.

Manakala Tn. Nasiruddin bersama Tn. Hasnan menikmati hidangan di meja makan bersama TYT Duta Besar Malaysia ke Oman dan tuan rumah sendiri, En Kemal.

Para hadirin mengambil peluang saling berkenal-kenalan dan beramah mesra sambil menjamu selera.

Untuk memeriahkan majlis, pimpinan muda GISBH terdiri daripada RPU mendendangkan beberapa buah nasyid di hadapan para hadirin.

Di bahagian wanita tidak kurang meriahnya bila Puan Ummu Mubarakah yang merupakan Ketua Muslimah GISBH dan juga isteri ke 4 YBhg Tn. PE, turut mendendangkan beberapa buah nasyid.

Sebelum tamat majlis, Tn. Md Nafib bersama seorang Pegawai Tadbir Syarikat telah mengambil peluang memperkenalkan Tn. PE dan ahli rombongan kepada para hadirin juga menceritakan serba ringkas jadual perjalanan Tn. PE yang terkini, bermula dengan Sidang Kemuncak OIC dan Ekspo Halal OIC di Istanbul dan akan diakhiri dengan lawatan kerja ke cawangan baru GISBH di Marawi City, Mindanao, Filipina sebagai penutup aktiviti Tn. PE di tahun 2023.

Di akhir majlis, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin telah menyampaikan cenderahati berupa produk-produk Ikhwan Brand kepada En. Kemal selaku tuan rumah.

Majlis disudahi dengan sesi bergambar beramai-ramai dan sebahagiannya bertukar-tukar kad perniagaan masing-masing.

Moga ikatan ukhwah dan kasih sayang yang terjalin akan berterusan agar disusuli dengan kerjasama yang sesuai di masa hadapan untuk faedah bersama demi agama, bangsa dan negara.

Views: 709

Reviews for GISBH terima jemputan ramah mesra dan jamuan makan daripada komuniti Malaysia di Oman

There are currently no reviews for GISBH terima jemputan ramah mesra dan jamuan makan daripada komuniti Malaysia di Oman
Scroll to top