GISBH Turki sertai ‘Pasar Senggol’ di Istanbul

Views: 15

ISTANBUL, 05.06.2022
Restoran Nur Muhammad Istanbul milik syarikat GlSBH telah menerima tawaran daripada Konsulat General Malaysia di Istanbul atas nama Negara Malaysia untuk bekerjasama dalam menyertai dan memeriahkan ‘Pasar Senggol’ bertempat di Halic Congress Center Beyoglu, di sini hari ini.

Pasar Senggol yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral lndonesia dan Perhimpunan Pelajar Indonesia Turki (PPI Turki) ini ialah sebuah festival yang mempamerkan dan memasarkan produk dan budaya Indonesia di Negara Turki. Senggol itu sendiri ialah gambaran ramainya pengunjung hingga bersesak-sesak di pasar tersebut.

Acara ini julung-julung kali diadakan dengan tema “Menerajui Pasar Asia di Istanbul” dengan majoriti penglibatan adalah terdiri daripada rakyat Indonesia yang bermastautin dan berkahwin dengan warga Turki juga rakyat dari negara-negara Asia yang lain seperti Filipina, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia.

Antara tetamu-tetamu di kalangan orang kenamaan yang hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia, Konsul Jeneral Filipina, Konsul Jeneral Vietnam, Konsul Jeneral Belanda, Gabenor Beyoglu dan Gabenor Eyub Sultan.

GISBH juga menyewa empat tapak yang berasingan di pasar Senggol ini untuk memeriahkannya dengan beraneka juadah makanan Malaysia antaranya nasi lemak, nasi ayam, mi kari, mi sup, sate, kuih muih traditional dan minuman Malaysia.

Gerai Nur Muhammad telah menerima ramai pengunjung, terutama dari kalangan pelanggan tetap Restoran Nur Muhammad lstanbul, sehingga banyak makanan yang habis awal seperti nasi lemak, nasi ayam, kuih ketayap dan karipap.

Antara pelanggan istimewa gerai Nur Muhammad ialah Konsul Jeneral Malaysia sendiri, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan İsteri. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Nur Muhammad atas penyertaan dan persembahan gerai yang dibuat dan juga beraneka juadah negara kita yang dijual mewakili Malaysia.

Selain daripada itu, kumpulan nasyid Akademi Generasi Harapan turut di jemput untuk mempersembahkan tiga buah nasyid dengan nasyid berjudul ‘Cintailah Indonesia’ paling menyentuh hati dan mendapat perhatian pengunjung.

Konsul Jeneral Indonesia, Pak Imam As’ari mengatakan, “Nasyidnya sangat bagus dan masuk ke hati saya.” Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Nur Muhammad kerana menyokong mereka untuk sama-sama menjayakan program tersebut.

Turut di bawa pada hari tersebut ialah motorhome Katta Rahmat milik GISBH yang telah menarik perhatian penghujung dan kakitangan Konsul Jeneral Indonesia sehingga ada yang meluangkan masa bergambar di motorhome.

Sepanjang sehari Pasar Senggol ini diadakan telah berjaya menarik tidak kurang daripada tiga ribu orang pengunjung.

Moga GISBH terus dapat memberi perkhidmatan dan kerjasama dengan semua pihak khususnya wakil kerajaan Malaysia di mana sahaja GISBH berada, agar persaudaraan dan kasih sayang dapat dieratkan sesama manusia.

Views: 15

Reviews for GISBH Turki sertai ‘Pasar Senggol’ di Istanbul

There are currently no reviews for GISBH Turki sertai ‘Pasar Senggol’ di Istanbul
Scroll to top