GISBH Uzbekistan sambut Maulidurrasul bersama kenalan di Restoran Nur Malaysia Tashkent

Views: 316

TASHKENT, 30.09.2023
GISBH cawangan Uzbekistan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidurrasul bersama rakan kenalan syarikat di Restoran Nur Malaysia Tashkent (RNMT) di sini semalam.

Majlis diadakan bagi menunaikan hasrat YBhg Tuan Hj Nasiruddin Muhammad Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH agar RNMT terus menjadi platform perhubungan yang sedia terjalin antara GISBH dengan kenalan-kenalan di sana.

Di antara kenalan GISBH termasuk rakyat tempatan, En Mohsin bersama rakan-rakannya dari Tareqat Naqsyabandi, wakil kedutaan Pakistan, wakil kedutaan Indonesia, dan lain-lain kenalan terdekat yang semuanya berjumlah 60 orang.

Turut hadir dalam majlis tersebut, TYT Tuah Ilham Illiyas, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, walaupun pada mulanya pihak kedutaan memaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana ada program lain.

Namun sebelah petangnya wakil Nur Malaysia mendapat panggilan dari pembantu peribadi beliau mengatakan bahwa TYT duta akan hadir dan telah membatalkan tiga lagi program lain yang sepatutnya beliau hadiri.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari wakil GISBH, Tuan Rizal Rosli, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Bekniza dan Ustaz Abdul Qadir seorang imam juga penasyid yang terkenal di Uzbekistan lalu diteruskan dengan bacaan Maulid dan doa.

Selesai Maulid para tetamu dijemput menjamu selera dengan hidangan nasi biriani daging, mi goreng, salad, roti Uzbek, bubur jagung, juadah pencuci mulut, teh tarik dan lain-lain.

Majlis dimeriahkan juga dengan alunan selawat dan beberapa buah nasyid daripada wakil Nur Malaysia.

TYT Duta Besar Malaysia menghargai dan menyenangi sikap staf-staf GISBH yang bergaul mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat khasnya warga antarabangsa yang melambangkan keramahan rakyat Malaysia.

Wakil Kedutaan Besar Indonesia di Taskent, Pak Sharifuddin pula
meluahkan rasa gembira dan memuji program yang dianjurkan oleh GISBH ini sangat menyentuh perasaannya.

Semoga ikatan silaturrahim yang sedia terjalin antara GISBH dengan pelbagai golongan masyarakat Malaysia dan antarabangsa di Tashkent akan bertambah kukuh selaras dengan tema Maulidurrasul tahun ini, ‘Perpaduan Teras Masyarakat Madani’.

Views: 316

Reviews for GISBH Uzbekistan sambut Maulidurrasul bersama kenalan di Restoran Nur Malaysia Tashkent

There are currently no reviews for GISBH Uzbekistan sambut Maulidurrasul bersama kenalan di Restoran Nur Malaysia Tashkent
Scroll to top