CHANA, 10.09.2023
GISBH Thailand diketuai oleh Tuan Mohd Aminuddin Sani telah mengadakan gotong royong operasi kebersihan di kawasan pemakaman Syuhada’ Syeikh Daud Al-Fatoni atau Makam Syuhada Didajang di sini, baru-baru ini.
Rombongan seramai 20 orang lelaki berada di kawasan pemakaman selama 2 hari 1 malam dan bermalam di sebuah bangunan yang terdapat di situ.
Antara kerja-kerja yang dapat dilakukan ialah memotong rumput, meninggikan tanah makam yang telah hampir rata dengan bumi, membetulkan batu-batu nesan yang senget, membersihkan kawasan yang masih semak samun dan menyapu dedaun dan ranting kayu yang gugur, mengumpul serta membakarnya.
Kawasan permakaman lama ini pernah terbiar dikatakan selama 200 tahun tetapi mula di beri perhatian dan diselenggarkan sejak 3 tahun yang lalu.
Menurut Mak Ku, seorang sukarelawan dari Narathiwat yang aktif membersihkan kawasan permakaman ini dengan pasukannya, kawasan ini merupakan pusat atau markaz tentera pimpinan ulama dan pejuang terkenal Nusantara, Syeikh Daud Al-Fatoni menentang serangan Siam dalam peperangan Siam-Pattani.
Ketika itu pejuang-pejuang Islam datang dari lebih 25 buah negara termasuk Turkiye, China, Aceh, Kedah dan Kelantan (ketika itu ada kerajaan sendiri) yang masing-masing kebanyakannya membawa sepasang batu nesan dengan niat mati syahid dan dimakamkan di situ.
Apabila tentera Islam kalah dalam peperangan dengan Siam, Syeikh Daud Al-Fatoni berundur ke Pulau Duyong, Terengganu dan kemudiannya berhijrah ke Mekah dan meninggal dunia di Taif pada tahun 1879 ketika berumur 159 tahun. Selepas itu tentera Islam dipimpin oleh Syeikh Abdul Samad Al-Falembani tetapi markaznya berpindah ke tempat lain.
Kawasan permakaman ini sangat cantik dijadikan tempat lawatan kerana keberkatan penghuninya iaitu para syuhadak, nilai sejarahnya yang tinggi ditambah lagi dengan kedudukannya yang sangat cantik di tepi sebatang sungai.
Penduduk kampung tersebut memberi sokongan dan membantu para staf GISBH dalam usaha membersihkan pemakaman ini dan peluang ini digunakan oleh GISBH untuk terus menyambung silaturrahim, ziarah dan berdakwah.
Terdahulu, Pengerusi Eksekutif GISBH mengarahkan setiap minggu digilir-gilirkan kumpulan staf yang menjalankan operasi kebersihan di sini sebagai khidmat masyarakat dan mencari keberkatan.
Sesungguhnya para syuhada itu tidak mati tetapi hidup di sisi Tuhan mereka dan diberi rezeki seperti yang Allah sebut di dalam Al-Quran.
Moga keberkatan para syuhadak mengalir dalam perjuangan GISBH untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup di dalam semua aspek kehidupan.