RAWANG, 09.03.2024
Dengan panduan dan kerjasama AJK Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Biro Pemuda Masjid telah menganjurkan program gotong-royong di kawasan masjid ini sempena menyambut Ramadhan Al-Mubarak di sini baru-baru ini.
Program bermula 8:30 pagi hingga 1 tengahari itu turut disertai 30 orang Remaja Pembela Ummah Lelaki (RPUL) dan Remaja Pembela Ummah Perempuan (RPUM) dari cawangan-cawangan GISBH sekitar Lembah Klang.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan ialah menebang pokok, membersihkan kawasan tandas, tempat wudhu, dewan sembahyang dan mencuci tikar.
Para peserta gotong-royong dijamu dengan hidangan makanan tengahari istimewa berupa nasi arab dan kambing bakar bawah tanah dari Laman Ikhwan.
Pada sebelah malam turut diadakan ceramah agama sempena ambang Ramadhan yang diisi oleh YBhg. Ust. Dr. Ahmad Arif Zulkifli, Assistant Professor UIA Gombak, bermula jam 7:45mlm hingga 10mlm disusuli jamuan makan.
AJK masjid dan masyarakat secara umumnya gembira dengan kehadiran RPUL dan RPUM bersama-sama berganding bahu menyertai program gotong-royong kali ini.
Semoga program seumpama ini dapat terus diadakan pada masa akan datang sebagai satu tanggung jawab hidup bermasyarakat yang menguatkan kerjasama dan kasih sayang.