IITTE gamit peserta lebih 20 negara

Views: 228

AYER KEROH, 1 Ogos 2024

Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE) berjaya menarik 248 peserta dari lebih 20 buah negara ‘berkampung’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama 4 hari bermula hari ini.

Ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan Islam anjuran GISB Holdings ini bakal dijadikan acara tahunan di Melaka kerana dilihat merancakkan lagi sektor pelancongan pada kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang sedang berlangsung ketika ini.

Ini dinyatakan sendiri oleh Exco Kanan Negeri, YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin, mewakili YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika merasmikan Ekspo berkenaan di Dewan A MITC, dan ditegaskan lagi dalam sidang akhbarnya.

“Kita harapkan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara yang hadir ke negeri Melaka jangan lepaskan peluang untuk hadir ke sini kerana selain daripada kita dapat melihat bagaimana Islam itu menjadi budaya hidup, Islam is the way of live, cara hidup kita yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW, kita juga dapat membuktikan bahawa Islamic civilisation itu sendiri daripada dulu telah mengajar kita bagaimana tijarah, bagaimana perniagaan dalam Islam yang mana GISBH ini adalah satu syarikat konglomerat yang besar yang berada di seluruh dunia.”

Antara peserta antarabangsa yang hadir di IITTE 2024 untuk julung-julung kali ini ialah dari negara Algeria, Arab Saudi, Belanda, China, Filipina, Indonesia, Jordan, Maghribi, Mesir, Mongolia, Palestin, Rusia, Singapura, Thailand, Turkiye dan lain-lain.

Moga Allah berkati dan rahmati program IITTE ini agar Islam menjadi cara hidup seluruh umat Islam demi kejayaan mereka di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Views: 228
Scroll to top