AYER KEROH 1 Ogos 2024 – Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE) mengajak masyarakat memahami bahawa konsep halal dalam Islam bukan hanya pada makan minum semata-mata tetapi adalah cara hidup.
Ia meliputi cara berpakaian, hiburan, bersukan, perhubungan dan seluruh aspek kehidupan yang
dilaksanakan akan menyuburkan lagi semangat penyatuan dalam kehidupan setiap individu di negara ini termasuk golongan bukan muslim.
Pengerusi Eksekutif (PE) GISB Holdings (GISBH), YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali berkata, Islam Cara Hidup yang diumpamakan sebagai sebatang pokok inilah menjadi nadi kepada penganjuran IITTE 2024 juga diharap akan menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada.
Jelas PE GISBH, ekspo bertaraf antarabangsa itu diilhamkan hasil daripada pengalaman beliau sendiri bermusafir di serata dunia atas nama Silaturahim: Ziarah, Dakwah dan Tijarah malah peserta lebih daripada 20 negara yang menyertai IITTE ini adalah kenalan yang dikenali daripada program tersebut.
“Menerusi IITTE kita berhimpun, perbaiki diri dan jika ada masalah kita bersatu menyelesaikannya kerana inilah jalannya untuk bersama. Pada masa yang sama kita pamerkan kehebatan Islam kepada semua.
“Kerana Islam itu diibarat sebatang pokok yang dari akar tunjangnya sehingga ke buahnya memberi manfaat kepada semua orang dan daripada sinilah kita mahu ceritakan Islam yang sebenar menerusi konsep ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian IITTE 2024 di Dewan A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Ekspo itu telah dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.
IITTE 2024 bermula hari ini hingga 4 Ogos nanti menawarkan lima program utama iaitu Persidangan IITTE 2024 dan Pocket Talk, Ekspo Pameran dan Jualan, Ekspo Jualan Makanan, Pameran Sejarah Kehidupan Rasulullah Untuk Penghayatan Kehidupan Kini serta Persembahan Kebudayaan Islam.
Inilah penganjuran sulung GISBH di ekspo seumpama ini setelah membuka cawangan di 20 buah negara dan menyertai pelbagai ekspo halal tempatan dan antarabangsa.