MELAKA, 4 Ogos 2024
Pameran Menghayati Kehidupan Rasulullah SAW di Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE), anjuran GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mendapat sambutan luar biasa dari pengunjung sepanjang 4 hari ekspo antarabangsa yang berakhir hari ini diadakan.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali berkata, penambahbaikan akan dibuat untuk ruang pameran di IITTE yang julung kalinya diadakan kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada 61,219
pengunjung ekspo berkenaan.
“Cubaan pertama mengadakan IITTE bertaraf antarabangsa ini menunjukkan bahagian pameran Menghayati Sejarah Kehidupan Rasulullah mendapat sambutan terlalu ramai sampaikan mereka terpaksa menunggu giliran satu hingga dua jam.
“Jadi saya bercadang untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk berbincang supaya pameran itu dapat dibuat dalam skala lebih besar di masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, selaku anak kelahiran Melaka, beliau terharu melihat sambutan diterima terhadap pameran itu.
“Dengan cara meluaskan lagi ruang pameran ini, umat Islam akan terubat kerinduan terhadap Rasulullah yang akhirnya akan melahirkan perbuatan baik meniru cara kehidupan Nabi Muhammad SAW.
“Saya juga telah mendapat kebenaran daripada pemilik dan pengasas Muzium Darul Madinah, Dr. Abdul Aziz Ka’ki yang mana beliau bersedia menghantar atau meminjamkan barangan dari muziumnya untuk dipamerkan,” katanya.
Pada pameran Rasullullah kali ini, orang ramai berpeluang melihat secara percuma 20 replika berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW berkonsepkan gambaran dan sejarah interaktif.
Ia membolehkan orang ramai mengenali keperibadian baginda, menghayati sejarahnya bermula dari kelahiran, perjuangan, kewafatan serta zaman para sahabat baginda.
Ketika ditanya kepada seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Helmi, seelok keluar dari bilik pameran,
“Saya sedih dan terharu melihat replika katil tempat Rasulullah SAW tidur dan berehat bila dibanding dengan katil kita,” ujar beliau sambil menyeka air matanya penuh kesedihan.
Ekspo IITTE menyaksikan lebih 300 gerai pameran dan jualan pelbagai kategori menyertai ekspo itu merangkumi produk makanan dan minuman, busana Muslim, pelancongan, pertanian, penjagaan kesihatan, takaful dan perbankan, mini zoo, kaligrafi Arab dan peralatan ibadah.
Lebih 200 delegasi dari 20 buah negara berkampung selama empat hari penganjuran ekspo berkenaan antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Belanda, Palestin, Jordan, Maghribi, Algeria, China, Rusia, Mongolia, Uzbekistan, Perancis dan Jerman.
Moga selepas ini, Allah beri kekuatan kepada umat Islam untuk menghayati kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW dan menirunya agar menjadi umat contoh untuk diikuti semua.