TANJUNG RHU, 13.06.2023
Ikhwan Aquatic telah menyertai pertandingan renang perairan terbuka di Langkawi Swimming Festival 2023 edisi ke 4 di sini, baru-baru ini.
Pesta renang bertaraf antarabangsa itu anjuran syarikat Tough Gorilla Ventures dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang mengambil inisiatif baharu untuk menonjolkan Langkawi sebagai destinasi sukan air selamat, justru menyumbang ke arah pembangunan Destinasi Pelancongan Sukan Langkawi.
Ia disertai 365 peserta dari pelbagai negara antaranya Singapura, New Zealand, Perancis dan Thailand.
Sebanyak 4 kategori dipertandingkan pada acara kali ini, iaitu kategori 2 km Sprint, 4 km dan 8 km dan 400 meter untuk kanak-kanak.
Ikhwan Aquatic yang diketuai pengurusnya, En Abir Fakhrurrazi At Tamimi telah menyertai acara 2km (3 orang), 4km (3 orang) dan 8km (2 orang).
Walaupun tidak menang dalam mana-mana kategori, tetapi semua peserta Ikhwan Aquatic berjaya mencapai sasaran dalam tempoh masa yang diberikan dan mendapat respon yang baik dari peserta dan pengunjung kerana kebanyakan mereka telah mengenali syarikat GISBH melalui kunjungan ke pasaraya Ikhwan Mart dan restoran-restoran GISBH, malah ada yang telah menjadi pelanggan tetap.
Dari kalangan yang berbangsa Melayu, mereka berasa kagum, berbangga, malah menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan dari GISBH kerana ada orang Melayu membawa imej Islam turut serta bertanding bagi mempelopori sukan sunnah ini yang kini dipelopori golongan bukan Islam terutama bangsa Cina.
Walaubagaimanapun terdapat sebilangan pengunjung berasa terkejut atas penyertaan Ikhwan Aquatic ke tempat begitu, namun dijawab oleh wakil GISBH, memang menjadi matlamat syarikat memperjuangkan sukan sunnah seperti juga dalam bidang lain iaitu memanah dan berkuda.
Majlis ditutup dengan acara penyampaian hadiah dan cenderahati oleh wakil penganjur, syarikat Tough Gorilla Ventures kepada para pemenang dan peserta.
Semoga usaha-usaha GISBH dalam mengembalikan martabat sukan sunnah di persada dunia mendapat kejayaan dan diredhai Allah.