Ikhwan Archery anjur pertandingan memanah di Kulim

Views: 23

KULIM, 26.01.2023
Ikhwan Archery, satu unit di bawah Jabatan Sukan Sunnah GISBH dengan kerjasama Pasar Raya Ikhwan Kulim telah menganjurkan satu pertandingan memanah tradisional 3D, 2D Hunting Tactical dan Dynamic, di sini baru-baru ini.

Pertandingan yang bertempat di padang belakang Pasar Raya Ikhwan Kulim ini merupakan penganjuran GISBH kali kedua.

Ia mendapat sambutan yang meriah dengan kehadiran lebih 100 orang pengunjung.

Acara yang dipertandingkan kali ini melibatkan beberapa kategori antaranya, terbuka lelaki dewasa, terbuka wanita dewasa dan terbuka kanak-kanak dan penganjuran kali ini juga julung-julung kali diadakan format ‘3D Hunting’.

10 wakil Remaja Pembela Ummah lelaki (RPUL) dan 10 wakil Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM) telah mendaftar menyertai pertandingan tersebut.

Acara bermula seawal jam 7 pagi dengan sesi pendaftaran, sarapan pagi dan taklimat ringkas mengenai format pertandingan.

Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dikuti bacaan doa oleh Ybhg Tuan Jundullah At-Tamimi sebagai wakil urusetia pertandingan bagi menambah keberkatan majlis.

Acara memanah 3D dimulakan jam 9 pagi, peserta mula memasuki lapang sasar memanah mengikut kumpulan dan zon-zon sedia ada iaitu zon A, B, C, di mana setiap zon mempunyai 7 check point.
Selepas 3 jam memasuki lapang sasar setiap kumpulan dapat menghabiskan semua check point yang ada awal dari masa yang ditetapkan tanpa sebarang masalah.

Walaupun setiap peserta berhadapan cuaca panas terik dan suasana yang agak mencabar kerana terpaksa melalui jalan yang agak berbukit dan bersemak tetapi ini tidak melunturkan semangat mereka untuk menghabiskan panahan dalam masa yang singkat.

Acara dihentikan seketika untuk rehat, makan tengahari dan sembahyang Zohor dan disambung selepas itu dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Antara tarikan utama pertandingan memanah kali ini ialah hadiah-hadiah yang disediakan seperti motor skuter elektrik, Bow Yevus Selim, Quiver serta Arrow Carbon sedozen, kereta mainan elektrik untuk peserta kanak-kanak dan hamper barang-barang Ikhwan.

Peserta RPU atas nama Ikhwan Archery telah mendapat tempat kedua di dalam pertandingan ini.

Antara respon masyarakat mengatakan mereka sangat berpuas hati dan seronok dengan Game Ikhwan dan diharapkan ianya dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Ustaz Said Hawa yang pertama kali menyertai ‘Game 3D’ telah memenangi tempat pertama dan membawa pulang motor skuter elektrik, berulangkali mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan memuji kesungguhan RPU yang bertungkus lumus menjayakan pertandingan tersebut.

Acara ditutup dengan bacaan doa dan sesi bergambar kenangan beramai-ramai di atas pentas.

Penganjuran GISBH dalam upacara seperti ini diharap dapat mengeratkan lagi silaturrahim dengan masyarakat, khususnya para pemanah tanah air, memartabatkan sukan sunnah memanah di negara kita dan menyuburkan rasa rindu pada Nabi SAW.

Views: 23

Reviews for Ikhwan Archery anjur pertandingan memanah di Kulim

There are currently no reviews for Ikhwan Archery anjur pertandingan memanah di Kulim
Scroll to top