RAWANG, 23.09.2023
Unit Sukan Sunnah Memanah GISBH, Ikhwan Archery telah menganjurkan satu pertandingan 3D, 2D Tactical Hunting di Hutan Bandar berdekatan Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) di sini baru-baru ini.
Acara ini dianjurkan bagi memberi pengalaman baru kepada pemanah dari GISBH sendiri di kalangan lelaki dan perempuan untuk merasai sendiri suasana memanah di dalam hutan dengan format 3D hunting benar-benar seperti memburu di dalam hutan.
Ia juga sempena mengambil keberkatan bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran Rasulullah SAW yang sangat berkat dan mulia ini dengan menanam cinta kepada sukan sunnah memanah ini untuk memburu rindu baginda Nabi SAW.
Pertandingan bermula pada pukul 8 pagi dengan sesi pendaftaran dan kudapan kemudian diikuti dengan taklimat ringkas serta pembahagian kumpulan dan doa sebelum pemanah bergerak ke zon menembak yang telah ditetapkan.
Terdapat 22 Check Point iaitu jarak di antara 5 hingga 30 Meter dan terbahagi kepada 4 Zon iaitu A, B, C dan D.
Peserta yang hadir kali ini lebih dari 50 orang yang mana terdiri dari staf GISBH yang datang dari pelbagai zon dan negeri mewakili Pengarah Zon setiap tempat dan kawasan di dalam GISBH.
Pertandingan ini dimeriahkan lagi dengan kedatangan kenalan Ikhwan Archery iaitu Abang Amran atau Abang Rambo yang mendapat maklumat GISBH mengadakan game 3D Hunting lalu beliau ingin melihat sendiri bagaimana Ikhwan Archery mengendalikannya.
Kedatangannya menyuntik semangat kepada pasukan Ikhwan Archery yang dapat belajar dari pandangan serta cadangan beliau selaku orang lama dalam Sukan Sunnah Memanah ini.
Walaupun masanya agak singkat tetapi para peserta dapat merasai keberkatan pertandingan ini kerana melaluinya, mereka mendapat ilmu dan pengalaman juga hiburan sekaligus memupuk hati untuk mengenang dan mencintai Rasulullah SAW.
Moga kesungguhan Tuan Muhammad Adib atas panduan berterusan daripada YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH untuk mewibawakan Sukan Sunnah Rasulullah ini akan memberi kesan jiwa yang positif kepada para staf GISBH agar nanti menjadi contoh di tengah masyarakat.